UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

#UMTPrihatin Peka Kebajikan Pelajar

#UMTPrihatin Peka Kebajikan Pelajar

Sunday, 17/07/2022

Share This Article :

Kuala Nerus, 6 Julai 2022– Prihatin dengan kebajikan pelajar berikutan kesan kenaikan harga barangan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) tampil dengan beberapa inisiatif melalui tagline #UMTPrihatin dan #HEPACakna bagi membantu pelajar menghadapi suasana kehidupan di kampus berikutan kenaikan harga barang terutamanya harga makanan.

Naib Canselor UMT Profesor Dato` Dr. Mazlan bin Abd Ghaffar berkata, pihak universiti melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) telah mengenalpasti pelajar yang kurang berkemampuan daripada golongan B40 dengan menyediakan Bantuan Dana Siswa dan Dana Asnaf Zakat berupa wang sara hidup. Dana siswa dan Dana Asnaf Zakat yang diagihkan sejak Januari sehinggan Jun 2022 berjumlah RM542,165 telah memberi manafaat kepada 7,324 pelajar UMT yang memerlukan.

Tambahnya lagi pengecualian bayaran sewaan premis kafetaria di dalam kampus selama enam bulan bermula Julai hingga Disember 2022 dijangka dapat membantu pengawalan kenaikan harga sekaligus dapat menyerap kos peningkatan harga makanan yang memberi impak kepada pelajar.

“UMT turut melaksanakan pengawalan dan pemantauan kadar harga makanan serta kualiti perkhidmatan di kafetaria dalam kampus dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi memastikan tiada kenaikan harga yang tidak sepatutnya”.

Selain itu menurut Profesor Dato` Dr. Mazlan, penyediaan menu Keluarga UMT pada kadar harga siling RM3.50 per hidangan bagi menu-menu terpilih di kafetaria dalam kampus dilaksanakan agar setiap pelajar dapat menikmati hidangan.

Ujarnya lagi Program Ziarah Cakna Pelajar Luar Kampus dengan menyediakan sumbangan bahan mentah untuk penyediaan makanan turut dilaksanakan dalam meringankan beban pelajar.

Mengulas lanjut Profesor Dato` Dr. Mazlan berkata bantuan makanan percuma melalui program Act-of-Kindness dan Gerobok Rezeki Mutiara UMT (AOK-GR) hasil sumbangan agensi korporat dan individu yang mula dijalankan sejak tahun 2017 masih diteruskan dengan menyediakan masakan dan barangan percuma kepada pelajar di asrama. Jualan makanan ringan dan panas tanpa keuntungan yang dijalankan   juga dapat membantu meringankan beban kewangan pelajar. Pelajar hanya perlu membawa bekas makanan sendiri untuk mendapatkan makanan yang disediakan.

“Diharap inisiatif yang diambil oleh UMT ini dapat mengurangkan kos sara hidup pelajar yang terjejas akibat kenaikan harga bahan mentah sekaligus memberi peluang kepada pelajar untuk terus fokus terhadap pelajaran dan aktiviti kampus tanpa terlampau memikirkan isu kenaikan harga makanan yang dialami”.

 

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu