UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT BANTU TINGKAT TARAF HIDUP KOMUNITI BESUT MELALUI PEMINDAHAN ILMU PEMBUATAN BAJA

UMT BANTU TINGKAT TARAF HIDUP KOMUNITI BESUT MELALUI PEMINDAHAN ILMU PEMBUATAN BAJA

Saturday, 29/01/2022

Share This Article :

Tahun 2021 merupakan tahun mencabar dalam melaksanakan projek komuniti disebabkan pandemik COVID-19. Namun, UMT komited membantu komuniti dengan kerjasama pelbagai pihak melalui projek pemindahan ilmu sama ada secara fizikal ataupun maya bagi tujuan menambah baik taraf hidup komuniti. Perkara ini adalah selari dengan misi UMT iaitu “Menjana Ilmu Untuk Kesejahteraan Masyarakat dan Kelestarian Alam”.

 

Program Universiti Bersama Komuniti Besut merupakan salah satu aktiviti di bawah projek “Baja.Com – Bertemakan Pengurusan Sisa Organik kepada Tanah Subur” menggunakan dana Knowledge and Technology Assimilation Grant Scheme (KTAGS). Program ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat tentang cara pengurusan sisa organik dengan efektif di samping mempraktikkan konsep “waste to wealth” dan “Circular Economic” demi meningkatkan pendapatan penduduk setempat. Seterusnya, meningkatkan tahap kesedaran pemeliharaan    alam sekitar khususnya komuniti di Besut.

 

Kerjasama UMT dan Mushroom Hub bermula pada tahun 2020 melalui perbincangan bersama Tuan Mohd Pauzi Bin Tuan Deraman selaku Pengerusi, Koperasi Kampung Bukit Tanah Berhad dan lawatan tapak ke Mushroom Hub. Usaha murni ini bertujuan membantu komuniti pengusaha cendawan dalam memberi inovasi penghasilan baja berasaskan sisa penanaman cendawan yang mana bongkah-bongkah cendawan yang habis digunapakai sebelum ini dibuang begitu sahaja. Projek ini merupakan gabungan kepakaran dari pihak UMT, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Agensi Nuklear Malaysia.

 

Projek geran KTAGS yang telah dilaksanakan oleh penyelidik UMT, UiTM dan UTM telah membuka lembaran baru didalam pengurusan sisa di peringkat komuniti khususnya di Kampung Tempinis dan pengusaha cendawan di sekitar daerah Besut. Semoga proses pemindahan ilmu yang dijalankan ini akan memberi impak yang baik dan meningkatkan kesedaran pengurusan sisa secara lestari.

 

Program kesedaran pengurusan sisa ini perlu memandangkan peningkatan penjanaan sisa pepejal yang telah menjadi sumber pencemaran alam. Pembuangan sisa dapur dan sisa kebun ini bukan sahaja mengundang pencemaran alam sekitar, malah menyebabkan keharmonian setempat terjejas ekoran kesan bau, binatang-binatang liar dan serangga perosak. Kesedaran terhadap pengkomposan sisa-sisa ini mampu mengurangkan penjanaan sisa pepejal di tapak pelupusan disamping membantu menyuburkan serta meningkatkan kandungan nutrien dalam tanah. Dengan mengamalkan pengurusan sisa secara sistematik ini dapat menjadi usaha dalam memelihara alam sekitar serta mengelakkan pembakaran terbuka.

 

Pihak UMT juga telah mengenalpasti potensi kerjasama bagi projek penghasilan baja tabur berasaskan sisa penanaman cendawan yang merupakan antara aktiviti pertanian yang berlangsung sejak sekian lama disini. Projek ini disasarkan untuk menjana ekonomi penduduk setempat melalui penubuhan hub penghasilan baja tabur menggunakan teknologi dibangunkan penyelidik UMT. Projek ini juga merupakan aplikasi teknologi pengurusan sisa lestari bagi sisa penanaman cendawan dan menukarkan sisa kepada baja bernilai tinggi. Pihak UMT bersedia menawarkan sokongan kepakaran kepada komuniti di sini bagi menjayakan projek ini melalui sokongan pihak kerajaan negeri Terengganu. Di akhirnya, usahasama semua pihak diharap akan menjadi pemangkin kepada kemajuan pertanian di sini khususnya dan di seluruh negeri Terengganu secara amnya.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu