Kuala Nerus, 18 Feb. – Majlis Amanat Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) tahun 2019 yang diadakan di Dewan Sultan Mizan UMT kali ini diketengahkan melalui tema “Melonjak Wibawa UMT ke Arah Kesohoran Ilmu Kelautan”. Tema tersebut merupakan harapan UMT dalam meningkatkan keterlihatan dalam bidang tujahan ilmu kelautan dan sumber akuatik.

 

YBhg. Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni binti Haji Mokhtar dalam ucapannya berkata kecemerlangan dan kewibawaan warga UMT merupakan nadi kepada pembangunan universiti ke arah memperkasakan visi dan misi universiti.

 

“Ia terbukti melalui kejayaan-kejayaan yang diraih oleh staf sehingga ke peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa pada tahun 2018 melalui program dan penyelidikan yang dijalankan”

 

Tambahnya bertepatan dengan kejayaan tersebut, universiti akan menumpukan kepada beberapa inisiatif pada tahun 2019 antaranya tumpuan kepada usaha pemantapan program pembangunan kepimpinan pentadbir UMT melalui sistem ‘WeLeadUMT’  yang akan dibangunkan untuk merangka dan memperkasa bakat kepimpinan akademik dan bukan akademik di universiti ini.

 

Menurutnya lagi skop pensijilan MS ISO akan diperluaskan secara menyeluruh kepada semua perkhidmatan di UMT. Bagi merancakkan lagi UMT Education 4.0, beberapa inisiatif baharu juga akan diperkenalkan pada tahun ini antaranya memperluaskan francais kerjasama antara UMT dengan IPTS yang memiliki niche yang sama.

 

Selaras dengan Pelan Strategik UMT 2018-2022, inisiatif pembangunan pelajar bagi ini dilaksanakan dengan 10 program berimpak tinggi. Manakala bagi memperkasa Niche UMT, inisiatif tahun 2019 menggariskan program-program seperti Survival Laut, Monsoon Beach Challenge, Sailing IPT Open dan sebagainya lagi.

 

Bagi memperkasakan aktiviti pemindahan ilmu dan jaringan industri di PTj, UMT akan melaksanakan Penarafan Bintang dan Penentuan Ranking untuk setiap PTj untuk Penilaian Program Kerjasama dengan Komuniti dan Industri bagi tujuan mengukur impak program yang telah dilaksanakan. Program-program Pemindahan Ilmu dan Jaringan Industri sedia ada akan diperkembangkan dengan lebih meluas malah ke persada antarabangsa.

 

Katanya lagi UMT menerusi Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) dengan kerjasama Bendahari UMT akan mempakejkan pengurusan Dana di PISM dengan nama ZAWIN, singkatan daripada Zakat, Waqaf dan Infaq dan tidak lain tidak bukan untuk memastikan dana ini dapat memberi manfaat kepada warga UMT khususnya pelajar.

 

Penampilan laman sesawang yang lebih interaktif dan berinformatif melalui penambahan 6 bahasa perantara iaitu, Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Bahasa Mandarin, Bahasa Tamil, Bahasa Arab dan Bahasa Perancis turut dititik beratkan dalam usaha meningkatkan lagi citra universiti.

Selaras dengan amanat YBM KPM yang berlandaskan pengetahuan, industri dan kemanusiaan, semua program yang dirancang perlu dilaksanakan secara sistematik dan mampu merealisasikan amanat UMT tahun 2019 iaitu “MELONJAKKAN WIBAWA UMT KE ARAH KESOHORAN ILMU KELAUTAN”. Semoga aspirasi Amanat Tahun 2019 ini dapat dihayati dan dilaksanakan oleh semua warga UMT secara muafakat serta hasil yang akan dikecapi mampu memberi manfaat dan menjulang nama UMT di peringkat dunia.

Turut hadir dalam majlis ini adalah Pegawai-Pegawai Utama Universiti serta warga UMT

 

 

 

 

Disediakan oleh:

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu