UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Suami, Isteri sebak terima ijazah anak

Suami, Isteri sebak terima ijazah anak

Tuesday, 24/10/2023

Share This Article :

Kuala Nerus – Tiada kata yang mampu diungkapkan oleh sepasang suami isteri yang hadir dari Gua Musang, Kelantan apabila menerima ijazah Allahyarham anaknya di Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Ke-21, di Dewan Sultan Mizan, di sini.

Allahyarham Mohamad Amir Nordin, 23, telah meninggal dunia akibat terlibat kemalangan jalan raya tahun lalu sewaktu dalam perjalanan menghantar pesanan pelanggan di bandar Gua Musang, Kelantan.

Beliau yang merupakan bekas penuntut di Fakulti Pengajian Ekonomi dan Pembangunan Sosial (FPEPS)  di UMT bagi program Sarjana Muda Pengurusan (Pemasaran) merupakan pelajar tahun akhir dan bakal meraikan detik kegembiraan bersama-sama rakan lain sempena Majlis Konvokesyen UMT ke-21 yang berlangsung selama tiga hari bermula 22 Oktober 2023.

Lebih memilukan kejadian tersebut dimaklumkan oleh abangnya yang juga bekerja sebagai ‘rider’ makanan sepertinya yang berada berdekatan dengan lokasi kejadian.

“Dia anak yang baik, tidak pernah melawan. Hanya ikut sahaja kehendak kami. Kalau kami tidak setuju, dia tidak akan buat”. Ujar Nordin Mohammad, 58, ketika ditemui selepas mewakili arwah anaknya menerima skrol ijazah.

“Sebelum kejadian, arwah memang tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara. Cuma sebelum dia tinggalkan rumah untuk menghantar pesanan makanan pelanggan pada hari kejadian, dia tidak menoleh ke belakang (arah rumah) seperti kebiasaan. Mungkin itu tanda yang dia pergi buat selamanya”.

Menurut ibunya, Nor Aini Awang, 55, berkata arwah Amir sangat rajin melakukan kerja untuk mencari pendapataan sampingan.

“Keluarga kami boleh dikatakan orang susah. Suami hanya bekerja kilang papan. Dia anak ke lima dari enam adik beradik. Abang-abangnya terpaksa batalkan hasrat untuk menyambung pelajaran ke universiti kerana ingin membantu keluarga mencari duit dan juga memberi laluan kepada adik-adik untuk meneruskan pengajian”

“Setiap kali cuti semester, arwah akan buat apa sahaja pekerjaan seperti bekerja sebagai pramusaji, jual pakaian lusuh (bundle), bantu gerai makanan dan sebagainya. Dia merupakan harapan keluarga kami kerana hanya dua orang sahaja anak-anak yang masuk ke universiti.Tapi Allah lebih sayangkan dia”.

“Pihak UMT sering menghubungi kami dan menguruskan segala keperluan yang berkaitan akademik arwah termasuklah bersetuju untuk menamatkan pengajian beliau dengan mengurniakan ijazah ini.

“Kami sekelurga gagahkan diri untuk hadir ke majlis ini kerana ini saja kenangan terakhir yang boleh kami jadikan kenangan sepanjang hidupnya dan ia sesuatu yang amat menggembirakan kami sekeluarga.” katanya.

 

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu