UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT meterai MoU dengan universiti China

UMT meterai MoU dengan universiti China

Thursday, 07/12/2023

Share This Article :

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengorak langkah bagi mengukuhkan lagi jenama universiti itu sebagai sebuah universiti peneraju bidang sains kelautan dan sumber akuatik melalui pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) dengan Universiti Sun Yat-Sen, China.

Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata, jalinan hubungan dua hala melangkaui sempadan itu bukti komitmen universiti awam yang diterajuinya komited dalam mencari penyelesaian berkaitan isu keterjaminan makanan negara.

Menurutnya, pemilihan universiti itu disebabkan beberapa faktor yang selari dengan nic penyelidikan serta kepakaran yang dimilikinya.

“Ia merupakan peluang yang baik bagi kedua-dua pihak untuk mengukuhkan kerjasama bagi pengembangan dan pencapaian institusi masing-masing.

“MoU ini juga sebagai bukti kesungguhan UMT dalam menangani cabaran kompleks berkaitan isu keselamatan makanan pada skala tempatan, nasional dan global.”

Majlis menandatangani dokumen MoU itu telah berlangsung di Universiti Sun Yat-Sen pada 1 November 2023 lalu.

Menurut Dato’ Mazlan, kerjasama itu bertindak sebagai platform yang mendorong penyelidik untuk menghasilkan inovasi serta pertukaran idea dan budaya yang memberi manfaat kepada institusi dan juga menyumbang kepada komuniti akademik global.

Katanya, beberapa rangka kerja telah dipersetujui kedua-dua pihak dan pemeteraian itu merangkumi pelbagai bidang termasuk program mobiliti pelajar dan penyelidik antara kedua-dua institusi selain persekitaran akademik dan metodologi penyelidikan yang berbeza menjadi nilai tambah dalam usaha pemerkasaan penyelidik berkaitan isu keselamatan makanan.

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang juga bertindak sebagai universiti awam yang memfokuskan penyelidikan dan asimilasi ilmu dalam bidang perikanan dan akuakultur selaras dengan pengiktirafan sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE) bagi Future Food dengan tema penyelidikan Sustainable Shellfish Aquaculture dibawah pemantauan Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP).