UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT tandatangani MoU dengan Pharmaniaga, kembangkan penyelidikan madu kelulut

UMT tandatangani MoU dengan Pharmaniaga, kembangkan penyelidikan madu kelulut

Sunday, 11/04/2021

Share This Article :

PETALING JAYA – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengembangkan projek penyelidikan madu kelulut melalui jalinan kerjasama dengan Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) bagi tujuan komersil.

 

Usahasama itu dimeterai melalui perjanjian kolaborasi yang ditandatangani oleh Naib Canselor UMT, Profesor Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar, manakala Pharmaniaga diwakili oleh Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga Datuk Zulkarnain Md Eusope.

 

Kolaborasi itu berupaya untuk mengkomersialkan madu kelulut pada skala besar sekaligus meningkatkan taraf sosioekonomi penternak madu kelulut dan juga menyediakan geran untuk membantu komuniti tempatan mengembangkan perusahaan madu kelulut.

 

Naib Canselor UMT, Profesor Dato’ Dr Nor Aieni berkata universiti itu mempunyai ramai tenaga pakar dalam bidang penternakan kelulut hasil daripada aktiviti R&D lebih daripada 10 tahun.

 

“Penyelidik-penyelidik UMT telah terlibat dalam aktiviti penternakan Kelulut bermula pada tahun 2014. Plot koloni kelulut telah dibuka di kampus UMT di Bukit Kor dengan 30 koloni Kelulut.

 

“Bermula dari tahun tersebut,  pelbagai koleksi Kelulut Indo-Malaya telah dikumpulkan untuk dijadikan sebagai Repositori Kelulut Indo-Malaya di Kampus UMT Bukit Kor. UMT juga telah menjalankan “program Kelulutpreneur UMT” yang berperanan melatih mahasiswa UMT menjadi usahawan Kelulut berjaya”

 

Menurut beliau tanah milik UMT seluas 81 hektar di Bukit Kor, Terengganu akan dibangunkan untuk projek itu.

 

“Buat permulaan UMT akan membekalkan minimum 300kg madu kelulut setiap bulan dan jumlah ini akan bertambah apabila projek ini kita akan kembangkan kepada lebih ramai penternak madu kelulut di seluruh negara”

“Kami mempunyai Kumpulan Penyelidik Lebah dan Kelulut UMT yang ditubuhkan sejak tahun 2017 yang diketuai oleh Prof. Dr. Shamsul Bahri Abd Razak dan dianggotai oleh 20 penyelidik UMT dengan pelbagai kepakaran seperti Stingless Bee Behavior, Quality of Honey, Food Microbiology, Population Genetics, Protein Chemistry, Product Development dan lain-lain lagi.

 

 

“UMT juga merupakan satu-satunya universiti awam yang menubuhkan satu kumpulan berfokus bagi mencari jalan penyelesaian isu-isu berkaitan madu dan kelulut supaya industri kelulut Malaysia berkembang maju.

 

“Melalui kepelbagaian kepakaran ini, UMT dapat menghasilkan pelbagai kajian berkaitan Madu Kelulut yang lebih berfokus dan dapat menghasilkan produk yang berkualiti dan baik,” katanya.

 

Turut hadir menyaksikan perjanjian usahasama itu ialah Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu