UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT, komuniti tanam semula spesis Brus mata buaya kian terancam

UMT, komuniti tanam semula spesis Brus mata buaya kian terancam

Thursday, 25/07/2023

Share This Article :

Sebanyak 200 anak pokok bakau jenis Brus mata buaya (Bruguiera hainesii) ditanam semula di kawasan tanah bencah setiu (Setiu Wetlands) dalam usaha memulihara pokok yang semakin berkurang itu untuk kelestarian alam semulajadi.

Pokok Brus mata buaya merupakan salah satu spesies pokok bakau yang disenaraikan sebagai spesies yang amat terancam di dunia. 

Selain membantu meningkatkan bilangan pokok bakau itu, usaha tersebut turut menyumbang kepada pemuliharaan ekosistem hutan paya bakau yang menjadi habitat penting kepada pelbagai flora dan fauna yang juga berfungsi sebagai benteng untuk menjaga pesisiran pantai daripada ancaman hakisan arus ombak yang kuat.

Ketua Projek, Prof. Dr. Shamsul Bahri Abdul Razak berkata program itu bukan sahaja fokus kepada tanaman pokok bakau, malah sebagai medan untuk Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mendidik masyarakat dengan menyebarkan kesedaran kepentingan penjagaan alam semulajadi.

“Hanya terdapat kira-kira 200 pokok bakau dari spesies ini direkodkan.

“Pemuliharaan kawasan bakau adalah penting kerana kawasan ini merupakan zon penampan semula jadi untuk mengurangkan atau mencegah hakisan pantai.

Dr. Shamsul yang juga pakar lebah kelulut berkata, anak benih pokok yang ditanam itu hasil semaian Saintis Masyarakat dilantik UMT, Tengku Azam Tg Mat yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Ayah Ku’ mengumpul anak benih pokok Brus mata buaya itu yang terdampar di pesisir pantai.

“Kita memiliki masyarakat yang peka terhadap ekosistem alam dan terima kasih kepada ‘Ayah Ku’ atas usaha mengumpul dan membuat semaian benih pokok yang dipungut di pesisir pantai dipercayai di bawa arus selepas banjir.

Katanya, projek itu turut mendapat perhatian daripada komuniti setempat serta penglibatan 70 pelajar sekolah yang telah diberi pendedahan berkaitan kepentingan penjagaan alam sekitar serta pemuliharaan paya bakau.

“Dua sekolah yang terlibat ialah S.K Kuala Setiu dan SMK Chalok. Program kali ini ditaja oleh syarikat BeeSure Sdn. Bhd yang telah 6 tahun bersama-sama SIG kelulut UMT bagi membantu masyarakat setempat menternak kelulut untuk menjana pendapatan.

Tambahnya, program membina kesedaran tentang kepentingan pemuliharaan alam sekitar itu merupakan aktiviti susulan selepas penganjuran program Cintai Kelulut, Sayangi Alam yang diadakan pada tahun lalu di Kg Pengkalan Gelap, Setiu.

 

Dikeluarkan oleh :

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu