UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT lancar pusat latihan baharu, medan gilap bakat pelayar negara

UMT launches new training centre to polish nation’s sailing talents

UMT lancar pusat latihan baharu, medan gilap bakat pelayar negara

Monday, 15/05/2023

Share This Article :

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) merupakan sebuah universiti awam yang mempunyai kepakaran dalam bidang marin dan sumber akuatik. Perkembangan evolusi UMT selepas penubuhannya pada 1979 meletakkan universiti ini berada pada tahap yang boleh dibanggakan setelah mendapat pelbagai pengiktirafan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Bagi menyahut cabaran dan sentiasa optimis dalam merencanakan halatuju gedung ilmu yang menjadi pusat pakar rujuk masyarakat, UMT juga menubuhkan Pusat Latihan Pelayaran (PLP) pada 1 Ogos 2019 lalu.

PLP UMT ini turut mendapat perhatian daripada pihak istana Terengganu dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu bersetuju berangkat mencemar duli bagi menyempurnakan majlis perasmian PLP UMT pada hari ini.

Pusat Latihan ini berperanan dalam pembinaan modul dan bahan rujukan serta kajian berkaitan pelayaran dan diterjemahkan melalui penganjuran program pemerkasaan masyarakat melalui penganjuran kursus dan program pemindahan ilmu kepada pelajar sekolah dan komuniti.

PLP UMT mengiktiraf kepakaran serta kearifan komuniti tempatan ( local expert) dan telah melantik individu-individu yang berpengalaman luas dalam ilmu pelayaran untuk berkongsi ilmu dan kepakaran khususnya berkaitan kemahiran pelayaran dan seni bina pertukangan model kapal. Usaha ini adalah bagi melengkapkan model sukan layar yang diterajui UMT untuk terus melakar kecemerlangan dan seterusnya mengangkat kembali aktiviti sukan layar sebagai warisan dari generasi ke generasi.

Objektif penubuhan PLP bukanlah hanya tertumpu kepada penglibatan dalam acara sukan semata-mata, malah aktiviti pelayaran juga merupakan satu ilmu kemahiran kompetensi yang diiktiraf dan ia boleh dijadikan bidang kerjaya seperti sebagai nakhoda kapal layar atau bekerja di marina.

PLP telah melakar kejayaan sepanjang penubuhannya apabila pasukan UMT Sailing Team telah berjaya merangkul pingat gangsa bagi kejohanan 16th Yisunsin Cup International Yacht Race di Korea Selatan bagi kategori J70 pada November 2022 lalu.

Selain itu, PLP UMT juga berjaya mengubah persepsi skeptikal penglibatan golongan wanita dalam sukan layar dan ia dibuktikan melalui kejayaan pasukan Ocean Girls UMT dinobatkan sebagai pemenang ketiga keseluruhan bagi kategori sport-boat dalam penganjuran Royal Langkawi International Regatta 2023 pada Januari 2023 lalu.

PLP UMT turut menyokong usaha Persatuan Pelayaran Negeri Terengganu dalam mencari bakat pelayaran dari kalangan orang kelainan upaya (OKU). Sehingga kini, seramai tujuh orang kelainan OKU di kalangan komuniti di Kuala Terengganu telah terlibat secara aktif bagi acara sukan pelayaran kategori khas iaitu Handicape Sailing (HANSA). Kerjasama dan sokongan daripada beberapa agensi dan Persatuan Pelayaran Malaysia menjadikan PLP UMT adalah satu-satunya pusat latihan HANSA di Malaysia.

Bersempena dengan perasmian PLP UMT, UMT juga mengadakan pelancaran Ekspedisi Penyelidikan Saintifik Marin sempena LIMA ’23 dengan menggunakan Kapal Research Vessel Discovery (RV-Discovery).

Ekspedisi saintifik ini merupakan pelayaran kali ketiga diadakan dan pelayaran penyelidikan kali ini diketuai oleh Dr. Nur Hidayah Binti Roseli selaku Ketua Saintis (Oseanografi Fizikal) dari Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, UMT beserta lapan penyelidik daripada pelbagai bidang oseanografi di UMT dan The Institute of Ocean and Earth Sciences (IOES) Universiti Malaya.

Beberapa kajian saintifik akan dijalankan melibatkan 19 lokasi persampelan di sepanjang Selat Melaka iaitu kajian mengenai arus dan suhu laut serta tahap kemasinan laut, kajian produktiviti dan nutrien laut, kajian logam berat di dalam sedimen serta kajian berkenaan hidupan laut. Kajian saintifik ini menggunakan peruntukan Long Term Research Grant (LRGS) dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di bawah kluster Perubahan Iklim dan Alam Sekitar (Climate Change & Enviroment) melibatkan kajian Oseanografi fizikal, Oseanografi Biologi, Oseanografi Kimia dan Oseanografi Geologi.

 

 

Dikeluarkan oleh :

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu