MARANG – Komuniti Bukit Kor, Marang dihidang dengan kenduri sekampung yang dihasilkan melalui kaedah gotong-royong antara Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan komuniti petani yang mengusahakan pelbagai jenis tanaman sayuran serta mengusahakan madu kelulut di kawasan milik UMT itu.

 

Program yang dinamakan Majlis Ramah Mesra bersama Komuniti Bukit Kor 2019 itu diadakan bertujuan untuk mewujudkan satu platform bagi mengumpulkan semua kakitangan dan ahli akademik Pusat Pengajian Sains dan Teknologi Makanan (PPSTM) bersama pengurusan UMT sebagai usaha mengeratkan hubungan silaturahim bersama komuniti petani Bukit Kor.

 

Pemangku Dekan PPSTM, Prof. Madya Dr. Shamsul Bahri Abd Razak berkata, objektif program ini adalah untuk memperkenalkan Kompleks Agroteknologi PPSTM kepada pihak kerajaan negeri, agensi luar dan badan-badan berkaitan selain untuk mengeratkan hubungan dua hala antara UMT dan agensi pertanian dan Kerajaan Negeri Terengganu.

 

“Kompleks Agroteknologi PPSTM telah siap dibina dan diserahkan kepada Pusat Pengajian Sains dan Teknologi Makanan (PPSTM) pada November tahun lalu. Kompleks ini berperanan untuk memudahkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran pelajar sarjana muda terutamanya bagi aktiviti amali pelajar. Di samping itu, pelajar siswazah juga boleh menjalankan aktiviti penyelidikan di sini.

 

“Kita juga menempatkan pegawai-pegawai yang terlibat seramai tujuh orang kesemuanya meliputi pegawai pertanian dan kakitangan keselamatan bagi memudahkan urusan pentadbiran dan menyelaras aktiviti pembelajaran di Bukit Kor ini”.

 

Sementara itu, Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, YB. Dr. Azman Ibrahim dalam ucapannya turut menggalakkan aktiviti pertanian dengan penglibatan penduduk setempat yang mana penduduk asal Bukit Kor dan perlu bergandingan antara komuniti dengan universiti dalam kelestarian pertanian bagi menjana ekonomi setempat.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu