UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

MENJELANG SATU SYAWAL

MENJELANG SATU SYAWAL

Tuesday, 12/06/2018

Share This Article :

MENJELANG SATU SYAWAL

Oleh Siti Azura Shafie

BERAKHIRNYA misi memburu malam Lailatulqadar, maka berakhirlah bulan yang penuh dengan keberkatan dan rahmat iaitu Ramadhan. Tibalah saat-saat yang dinantikan oleh umat islam di seluruh Negara dengan penuh kesyukuran iaitu Hari Raya Aidilfitri pada 1 Syawal. Masyarakat islam Malaysia akan membuat persiapan dengan menghiasi rumah masing-masing agar kelihatan ceria dan meriah sebagai tanda meraikan hari kemenangan tersebut setelah berpuasa selama sebulan.

TRADISI

Amalan kunjung-mengunjung sudah menjadi tradisi masyarakat melayu dalam mengeratkan hubungan antara kaum keluarga, jiran tetangga dan sahabat handai yang pulang dari perantauan untuk menyambut lebaran di kampung halaman masing-masing. Perayaan yang disambut menonjolkan sikap prihatin dan mengeratkan hubungan silaturahim dengan adanya majlis rumah terbuka yang telah menjadi sinonim dalam kehidupan masyarakat sosial. Umat islam sememangnya mengamalkan budaya ziarah menziarahi antara satu sama lain secara tidak langsung dapat mempertingkatkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

AMALAN

Rasulullah SWT menganjurkan apabila menjelangnya 1 Syawal, kita perlu mempersiapkan diri dengan pakaian khusus seperti yang diriwayatkan oleh Al-Baihaqi, ”Sesungguhnya Nabi memiliki pakaian khusus yang hanya dipakai pada dua hari raya dan hari jumaat”. Maka berpakaian baharu dan cantik pada hari raya adalah amalan sunah yang dilakukan oleh Rasullullah SWT.

Selain itu, islam juga menganjurkan mandi sunat pada hari raya sebelum keluar rumah untuk ke masjid bagi melaksanakan solat hari raya serta disunatkan makan apa jua makanan dalam kadar sedikit bagi mengalas perut.

SIKAP

Ramai antara kita yang berada diperantauan akan pulang berhari raya dikampung halaman masing-masing. Ada yang memilih pengangkutan awam sama ada bas, keretapi, kapal terbang dan sebagainya. Mungkin ramai juga yang lebih selesa dengan memandu kenderaan sendiri. Bagaimana pula aspek keselamatan?

Saban tahun kita disajikan dengan kisah-kisah tragis yang terlibat dengan kemalangan jalan raya. Kebanyakan kemalangan berlaku disebabkan sikap dan kecuaian pemandu yang tidak bertolak ansur antara satu dengan yang lain. Dengan kenderaan dianggarkan berjumlah tiga juta yang akan memasuki pantai timur, pasti kesabaran pemandu-pemandu akan tercabar dengan mengharungi perjalanan yang mengambil masa lebih 10 jam dari Kuala Lumpur. Jadi, selain mematuhi isyarat lalu-lintas jalan raya, faktor sikap dan toleransi sangat penting dalam mengharungi cabaran ini untuk menjamin keselamatan di jalanraya.

 

Walau apa pun yang berlaku, semoga cabaran dan dugaan yang ditempuhi sepanjang Ramadan kali ini memberikan kita keberkatan dan diterima segala amalan oleh Allah SWT sepertimana yang kita harapkan. SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR dan BATIN.

 

Dikeluarkan oleh:

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu (UMT)