Kuala Terengganu – Seramai lima orang mahasiswa dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang memperoleh keputusan cemerlang program ijazah sarjana muda menerima anugerah yang disampaikan oleh Menteri Besar Terengganu, YAB Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Mahasiswa cemerlang tersebut antaranya ialah Nur Atiha Muhammad (Perakaunan), Amynina Nabila Mohd Azhar (Fizik Elektronik dan Instrumentasi), Mas Yuhalissa Mat Yaziz (Perikanan), Nadiah Ramli (Teknologi Alam Sekitar) dan Muhammad Syafiq Mohd Rizani (Sains Nautika dan Pengangkutan Maritim).

Majlis yang dinamakan sebagai Anugerah Sarjana Terengganu 2018 itu merupakan inisiatif Kerajaan Terengganu untuk meransang kecemerlangan anak jati Terengganu di Institut Pengajian Tinggi disamping mengiktiraf semua pelajar dalam kalangan anak Terengganu yang berjaya mendapat kecemerlangan di peringkat ijazah sarjana muda dan memperolehi keputusan Kepujian Kelas Pertama dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.75 atau 80% daripada keseluruhan peperiksaan tanpa mengira bidang pengajian.

Penerima anugerah membawa pulang sijil penghargaan dan cek insentif bernilai RM 4,000.00 bagi bidang ikhtisas dan RM 2,000.00 bagi bidang bukan ikhtisas.

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar yang turut hadir ke majlis tersebut berbangga dengan pencapaian cemerlang yang diperoleh mahasiswa UMT.

“Syabas dan tahniah kepada mahasiswa-mahasiswa yang menerima anugerah ini. Semoga kecemerlangan yang boleh dibanggakan ini menjadi sumber inspirasi dan ransangan kepada pelajar-pelajar lain dalam menempa kecemerlangan”. Katanya.

 

Dikeluarkan oleh :

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu