UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT meterai kerjasama keterjaminan makanan negara

UMT participates in strategic collaboration to strengthen nation’s food security

UMT meterai kerjasama keterjaminan makanan negara

Tuesday, 09/05/2023

Share This Article :

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengorak langkah memperkasakan industri perikanan bersama dua pemain industri tempatan dan antarabangsa.

UMT melalui Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP) telah mencapai kata sepakat melalui pemeteraian dokumen MoU dengan Eko Akua ParQ Sdn. Bhd. (EAP) dan Institut Penyelidikan Perikanan Laut China Selatan, Akademi Sains Perikanan, China (SCFRI) yang berlangsung di Shah Alam sempena penganjuran Pameran Antarabangsa AgTech 2023 baru-baru ini.

Pengarah AKUATROP UMT, Prof. Dr. Mhd Ikhwanuddin Abdullah berkata kerjasama itu memberi manfaat kepada universiti dalam mengembangkan aktiviti penyelidikan berkaitan pembangunan induk udang putih berkualiti tinggi dan sistem ternakan tumbesaran tertutup.

“MoU ini juga membuka ruang dan medium terbaik bagi menggalakkan aktiviti penyelidikan selain sebagai medium pertukaran data dan maklumat dengan SCFRI, China. EAP juga menawarkan kemudahan tapak penyelidikan kepada AKUATROP untuk aktiviti R&D yang berkaitan dengan projek tersebut. Secara tidak langsung ia memberi manfaat kepada kedua-dua pihak serta menjimatkan.

“Sistem ternakan tumbesaran tertututup yang dibangunkan ini mengintegrasikan keperluan dan kemudahan sektor perikanan dengan kawalan sistem AI sepenuhnya melibatkan operasi ternakan harian hingga pengumpulan data”.

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan syabas atas jalinan kerjasama yang dimeterai.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada AKUATROP,  UMT untuk inisiatif kerjasama yang ditandatangani bersama Eko Akqua ParQ Sdn. Bhd. (EAP), dengan kolaborasi strategik bersama South China Sea Fisheries Research Institute, Academy of Fisheries Sciences, China (SCFRI) untuk kajian pembangunan induk dan ternakan udang putih.

“Inisiatif sebegini sememangnya akan terus diperkasa oleh UMT, terutamanya dalam menerapkan keberhasilan penyelidikan untuk menyokong usaha menjamin keselamatan makanan dari sektor perikanan negara”.

Majlis tersebut turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan, YB Tuan Chan Foong Hin.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UMT, Prof. Chm. Dr. Marinah Mohd Ariffin mewakili Naib Canselor UMT, kumpulan penyelidik AKUATROP UMT diketuai oleh Prof. Dr. Mohd Ikhwanuddin Abdullah bersama PM Ts. Dr. Nor Azman Kasan PM Dr. Liew Hon Jung serta Datuk Piong Chee Yu (Pengarah urusan EKO Akua ParQ Sdn. Bhd. ) dan Kenneth Tan (Pengarah Projek).

 

Dikeluarkan oleh :

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu