UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT lancar kempen semarak bulan kebangsaan

UMT lancar kempen semarak bulan kebangsaan

Wednesday, 23/08/2023

Share This Article :

Sebagai warganegara tidak seharusnya mengabaikan tarikh keramat yang dilaungkan oleh Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj 66 tahun lalu yang telah menjadi titik perubahan kepada pembangunan Negara.


Adalah menjadi tanggungjawab setiap warganegara beriltizam untuk memastikan perpaduan antara kaum yang terjalin sejak sekian lama sentiasa segar selain menjaga keharmonian dan kemakmuran negara yang berbilang kaum, bangsa serta etnik yang telah bersatu hati meletakkan muafakat berlandaskan prinsip hormat menghormati antara kaum bagi memastikan negara kekal sejahtera dan harmoni sepertimana yang dikecapi hingga kini.


Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang mempunyai warga kampus berbilang kaum sentiasa menyambut baik usaha menyatupadukan ikatan permuafakatan dalam masyarakat selaras dengan sambutan bulan kebangsaan 2023 melalui tema “Malaysia Madani : Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan” yang dilancarkan diperingkat nasional oleh Menteri Komunikasi dan Digital pada Mei lalu.


Pihak UMT diketuai Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar melancarkan kempen semarak kibar Jalur Gemilang di perkarangan pintu masuk utama kampus bersama-sama barisan pengurusan tertinggi UMT serta sekumpulan pelajar.


Lebih 500 Jalur Gemilang bersaiz kecil dilekatkan pada kenderaan serta diagihkan kepada semua warga kampus dan juga komuniti yang memasuki kampus hari ini bagi membangkitkan aura kemerdekaan sebagai tanda penghargaan buat generasi terdahulu yang bersusah payah menuntut kemerdekaan.


Peranan universiti bukan hanya melahirkan graduan, malah kualiti graduan sering dijadikan keutamaan bagi membentuk graduan holistik serta jiwa dan minda merdeka disamping mempunyai semangat patriotik dan cintakan kepada Negara bagi memimpin negara di masa akan datang.