UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Sukarelawan UMT tanam pokok gelam, wujudkan kelestarian ekosistem alam

Sukarelawan UMT tanam pokok gelam, wujudkan kelestarian ekosistem alam

Sunday, 10/12/2023

Share This Article :

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sebagai sebuah universiti awam yang memperjuangkan elemen kelestarian alam dan biodiversiti menyambut Hari Alam Sekitar dengan mengumpulkan kira-kira 100 sukarelawan dalam misi menanam semula pokok gelam di Setiu.

Inisiatif itu merupakan tanggungjawab bersama yang harus dipikul oleh setiap individu dalam usaha memelihara flora dan fauna serta ekosistem alam. Pemilihan pokok gelam dibuat disebabkan mempunyai pelbagai kelebihan dalam keseimbangan ekosistem, berdaun lebat dan tahan kekeringan serta mudah untuk ditanam.

Pokok gelam atau juga dikenali sebagai Melaleuca cajuputi adalah tumbuhan asli Asia Tenggara yang memiliki nilai ekonomi dan ekologi yang tinggi. Secara tidak langsung usaha yang dilakukan oleh sukarelawan UMT turut memberi kelebihan kepada penduduk sekitar dalam menghasilkan produk berasaskan pokok tersebut.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Izani Mohd Zain menyifatkan program sukarelawan seperti itu merupakan kegiatan yang baik dalam menyemai ilmu berkaitan penjagaan alam sekitar dan ekosistem kepada masyarakat khususnya pelajar.
“Kita dedahkan kepada pelajar kepentingan penjagaan alam sekitar dan prihatin terhadap perubahan yang ketara berlaku kebelakangan ini.
“Aktiviti kesukarelawanan seperti ini merupakan medan untuk menyemai rasa tanggungjawab setiap individu terhadap alam sekitar selain menyebarkan ilmu berkaitan penjagaan ekosistem alam demi masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang”.

Sementara itu, penyelidik pokok gelam, Prof. Madya Dr. Jamilah Salim berkata pemilihan pokok gelam itu merupakan sumber semulajadi yang boleh diusahakan tanpa memerlukan modal yang besar.
“Kajian saya berkaitan pokok gelam bermula 1998. Kita dapati bahawa pokok ini berpotensi memberi manfaat kepada komuniti.
“Ini juga menterjemahkan penyelidikan yang dilakukan universiti dikembalikan kepada komuniti untuk dimanfaatkan.

Sementara itu, menurut Prof. Dr. Noraznawati Ismail berkata pelbagai produk boleh diusahakan berasaskan pokok gelam seperti minyak pati.

“Kita mengambil pendekatan hubungkait antara komuniti dan aktiviti tanaman pokok gelam. Jadi, kita dapati bahawa komuniti yang usahakan tanaman pokok gelam boleh memanfaatkan hasilnya itu melalui penghasilan krim, minyak pati dan produk lain yang mempunyai nilai tinggi di pasaran.
“Usaha kelestarian alam seperti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada ekosistem alam, malah menjana peluang ekonomi kepada komuniti setempat”. Ujarnya yang juga sebagai Ketua Bioinfo, Institut Adaptasi Iklim dan Bioteknologi, UMT.

Program itu bukan hanya sekadar menghijaukan alam, pokok gelam turut mempunyai sifat antimikrobial dan dapat membantu membersihkan udara dengan menyerap karbon dioksida dan melepaskan oksigen. Ini membantu mengurangkan impak perubahan iklim dan menyokong keseimbangan ekosistem.

Disediakan oleh :

Amirul Salam Hasan
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu


Dikeluarkan oleh :

Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu