UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

COVID19 – UMT TERIMA GERAN PENYELIDIKAN IMPAK EKONOMI RM23,530.00

COVID19 – UMT TERIMA GERAN PENYELIDIKAN IMPAK EKONOMI RM23,530.00

Sunday, 07/06/2020

Share This Article :

Seawal Januari lalu dunia dikejutkan dengan pandemik Corona Virus atau COVID-19 yang bermula menyerang wilayah Hubei, China. Penularan Virus itu yang amat ketara dan pantas bukan sahaja di Negara China, malah disebarkan ke seluruh dunia. Pandemik ini telah mengubah gaya hidup masyarakat dunia sehingga ada pemimpin terpaksa mengisytiharkan darurat di beberapa Negara. Malaysia tidak terkecuali dari tempias serangan ‘musuh’ dunia ini dan kesannya amat besar kepada Negara dalam pelbagai sector terutamanya ekonomi dan budaya.

 

Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu dengan disusuli beberapa pelan pemulihan serta bantuan khas kepada rakyat yang rata-rata terjejas ekoran keterbatasan pergerakan dan sekatan jalan raya yang dikawal ketat oleh pihak polis.

 

Namun, kebijaksanaan perancangan pelan pemulihan ekonomi yang dilancarkan oleh Perdana Menteri melalui pakej-pakej ransangan ekonomi merangkumi segenap golongan rakyat serta pemain industri, Malaysia mula mencatatkan pertumbuhan aliran tunai positif setelah beberapa sector terutamanya sector ekonomi telah mula beroperasi selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diumumkan.

 

Puji dan bangga harus diberikan kepada rakyat Malaysia atas disiplin serta kawalan emosi dalam bersama-sama memerangi penularan COVID-19 melalui pelbagai usaha antaranya kempen berbentuk video, poster, gambar dan hasil kreatif yang dihasilkan oleh golongan dewasa sehingga kanak-kanak. Sokongan juga turut dipanjangkan kepada petugas barisan hadapan (frontliner) yang telah berkorban tenaga dan masa serta patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dalam berdepan dengan pesakit yang mempunyai gejala COVID-19. Barisan hadapan diibaratkan banteng pertahanan dan sekiranya banteng ini rebah, maka hancurlah segala usaha yang telah dilakukan!

 

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) selaku institusi pendidikan yang sering dirujuk oleh agensi luar dan media dalam mendapatkan pandangan berkaitan ekonomi telah membantu kerajaan negeri Terengganu dalam menjalankan kajian berkaitan Impak COVID-19 kepada sosioekonomi Negeri Terengganu. Dokumen perjanjian persetujuan telah ditandatangani oleh kedua-dua wakil agensi iaitu masing-masing diwakili oleh Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) Dr. Haji Wan Mat Sulaiman serta disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan YB Ust. Mohd Nor Hamzah selaku Pengerusi TSIS. Perjanjian itu melibatkan sumbangan geran penyelidikan berjumlah RM23,530.00 kepada UMT.

 

Menurut Prof. Dato’ Nor Aieni Mokhtar, kajian tersebut melibatkan lebih 800 komuniti dan aktiviti perniagaan di negeri Terengganu bagi menilai Impak COVID-19 khususnya sepanjang tempoh PKP/PKPB kepada sosio-ekonomi.

 

“Kerjasama ini penting bukan sahaja mampu memberikan yang terbaik kepada kerajaan negeri, malah hasil kajian ini juga sebagai hadiah dan sumbangan UMT kepada komuniti setempat.

 

“Saya juga berharap dengan perjanjian ini akan membuka lebih banyak ruang dan peluang kerjasama antara TSIS-UMT dan juga mengukuhkan jalinan kerjasama antara kerajaan negeri dengan UMT”. Katanya.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu