UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Jalinan kerjasama antara universiti dan pemain industri penting dalam penghasilan produk inovasi di sektor pertanian

Jalinan kerjasama antara universiti dan pemain industri penting dalam penghasilan produk inovasi di sektor pertanian

Wednesdayday, 10/1/2024

Share This Article :

Pertanian adalah sektor yang mempunyai peranan penting dalam menyokong kehidupan manusia. Dalam usaha meningkatkan produktiviti dan kualiti dalam sektor ini, kerjasama antara universiti dan pemain industri berkaitan makanan menjadi elemen utama. Hubungan antara universiti dan industri saling berkait dan ia memerlukan jalinan yang kukuh dalam membentuk sinergi yang kuat.

Universiti merupakan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang berpotensi tinggi untuk dikembangkan dan diterjemahkan dalam pelbagai bidang. Melalui kerjasama dengan wakil industri dan syarikat makanan, pengetahuan dan teknologi terkini dapat dipindahkan dari akademia ke sektor praktikal. Ini merangkumi penemuan baharu dalam bidang penanaman, pemprosesan makanan dan pengurusan sumber daya pertanian.

“Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi, UMT komited untuk menyediakan pendidikan berkualiti, menghasilkan penyelidikan yang inovatif dan membangunkan sumber manusia yang unggul dalam bidang pertanian”. Kata Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar ketika berucap sempena majlis menandatangani memorandum perjanjian persefahaman (MoU) antara UMT dan Kumpulan Ladang-Ladang Perbadanan Kedah Sdn Bhd (KLPK).

Majlis pemeteraian dokumen MoU itu dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan (Exco Pendidikan) merangkap Pengerusi  KLPK Sdn Bhd.

Turut hadir ke majlis sama iaitu Pengarah Kumpulan Ladang-Ladang Perbadanan Kedah Sdn Bhd, YB Mohd Radzi Md Amin.

Menurutnya, kolaborasi seumpama itu penting dalam memastikan inovasi yang dihasilkan memberi manfaat kepada masyarakat.

“Penglibatan syarikat berkaitan makanan dalam proses inovasi bagi memastikan penemuan dari universiti mendapat peluang untuk dikomersilkan dengan lebih berkesan. Ini dapat membawa kepada pembangunan produk-produk baharu atau peningkatan produk sedia ada yang boleh diterima oleh pasaran dengan lebih baik”

Penglibatan pihak industri dalam penyelidikan dan pembangunan berpotensi meningkatkan keupayaan industri tempatan. Syarikat perusahaan makanan dapat mengekalkan daya saing melalui perkembangan terkini mengenai teknologi dan inovasi dalam sektor pertanian.

“Kerjasama ini akan membuka pintu kepada pertukaran pengetahuan, teknologi dan sumber, mewujudkan ekosistem yang dinamik dan inovatif untuk menyokong pertumbuhan mampan sektor pertanian.

“Kami percaya bahawa dengan berganding bahu, kami boleh mencapai matlamat bersama kami untuk meningkatkan kualiti pendidikan, menyokong penyelidikan yang memberi impak, dan memajukan inovasi dalam sektor pertanian. Langkah ini bukan sahaja untuk kepentingan kedua-dua pihak, tetapi juga untuk kesejahteraan dan kemajuan negara”

Kerjasama ini dapat mencetuskan inovasi dalam pembangunan produk makanan. Syarikat makanan dapat memanfaatkan penemuan dan idea-idea baru dari universiti untuk mencipta produk inovatif yang memenuhi tuntutan pasaran dan mempunyai nilai tambah yang tinggi.

Jalinan kerjasama yang kukuh antara universiti dan pemain industri berkaitan makanan mempunyai peluang besar untuk memajukan sektor pertanian melalui inovasi dan peningkatan kualiti. Ia sebahagian langkah yang strategik dalam memastikan kelestarian dan daya saing dalam industri makanan dan pertanian.

 

Dikeluarkan oleh :

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu