UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

GRADUAN UMT DIRAIKAN DALAM MAJLIS KONVOKESYEN KE-18 (SIRI PERTAMA) SECARA HIBRID

GRADUAN UMT DIRAIKAN DALAM MAJLIS KONVOKESYEN KE-18 (SIRI PERTAMA) SECARA HIBRID

Sunday, 28/03/2021

Share This Article :

Kuala Nerus, 27 Mac- Memandangkan situasi pandemik COVID-19 dalam negara amnya dan negeri Terengganu khususnya masih berterusan pada tahun ini, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengambil keputusan untuk meneruskan majlis Konvokesyen Ke-18 (Siri Pertama) secara hibrid dengan skala kecil.

 

Keputusan ini berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak MKN dan juga SOP tambahan yang dikuatkuasakan di negeri Terengganu.

 

Sungguhpun demikian, Majlis Konvokesyen UMT kali ini berlangsung dengan penuh istiadat dan turut mendapat perkenan Tuanku Sultan dan Sultanah Terengganu yang juga Canselor UMT melalui titah Tuanku Canselor secara maya.

 

Sultanah Nur Zahirah bertitah agar semua graduan menggilap potensi diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan ketersediaan fizikal untuk memenuhi keperluan pasaran pekerjaan dan bersedia membina peluang pekerjaan dengan menceburi bidang keusahawanan.

 

Baginda turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua warga UMT dan barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) kerana telah menjalankan tugas dengan cemerlang dalam tempoh pendemik COVID-19 melanda negara.

 

Prof. Dato’ Dr. Aieni Mokhtar, Naib Canselor UMT dalam ucapannya berkata pada tahun ini, seramai 2,878 orang graduan menerima anugerah iaitu 115 orang penerima Diploma, 2,559 orang Ijazah Sarjana Muda, 152 orang ijazah Sarjana dan 52 orang Ijazah Doktor Falsafah.

 

Dalam majlis ini UMT meraikan 12 graduan penerima anugerah iaitu penerima Anugerah Pelajar Diraja, Anugerah Pingat Emas Canselor, Anugerah Pro Canselor, Anugerah Pengarah LPU dan Anugerah Naib Canselor.

 

Turut diraikan adalah penerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Teknologi Laksamana Pertama YBhg. Dato’ Ir Haji Ahmad Murad bin Haji Omar (Bersara) dan penerima anugerah Profesor Emeritus, iaitu Prof. Ir Dr. Ahmad bin Jusoh.

 

Memahami bahawa konvokesyen merupakan majlis yang amat bermakna buat graduan dan ibu bapa, UMT akan meraikan semua graduan serta ibu bapa dalam siri ke-2 Majlis Konvokesyen Ke-18 yang akan diadakan secara fizikal pada bulan Jun 2021. Majlis ini dirancang secara fizikal mengikut keperluan norma baharu dengan mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan serta tertakluk kepada situasi semasa pandemik COVID-19.

 

Prof. Dato’ Dr. Aieni Mokhtar turut menzahirkan rasa syukur kerana dapat meraikan para graduan yang komited menamatkan perjuangan ilmu dan telah berjaya melepasi satu fasa dalam penerokaan ilmu walaupun bergelut dengan tekanan pandemik COVID-19.

 

Tambahnya secara positif, pandemik COVID-19 dilihat sebagai agen transformasi dan pemangkin kepada pelaksanaan pembelajaran secara maya dan memperkasakan lagi Revolusi Industri 4.0 (Fourth Industrial Revolution) melalui pengajaran dan pembelajaran menggunakan platform digital.

 

“UMT telah mengambil langkah proaktif dengan mengaktifkan Pengajaran dan Pembelajaran secara dalam talian sepenuhnya seawal 14 Mac 2020. Sepanjang tempoh 6 minggu pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran dalam talian ini, UMT telah berjaya melaksanakan 4,356 kuliah secara dalam talian”. Ujarnya.

 

Dalam ucapannya juga beliau memberi perhatian yang serius dalam memperkasakan agenda pengantarabangsaan UMT dalam konteks melebarkan jaringan kerjasama antarabangsa melalui aktiviti penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran dan program silang budaya.

 

UMT tetap mencapai KPI yang disasarkan secara tahunan demi mencapai visi menjadikan UMT sebagai Universiti Berfokus Marin Terunggul dalam Negara dan disegani di Peringkat Global.

 

Antara kejayaan membanggakan UMT berjaya mencapai kedudukan Asian QS Ranking 2021 peningkatan dari kedudukan 243 pada tahun 2019 kepada 195 pada tahun 2020. Peningkatan hampir 50 anak tangga ini merupakan satu jaminan bahawa UMT sentiasa menitikberatkan kualiti dalam sistem akademik mahupun pentadbiran.

 

UMT turut mengukir sejarah apabila buat pertama kalinya dianugerahkan pensijilan ISO/IEC 27001:2013 Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS) bagi skop “Pengurusan Akademik Prasiswazah Yang Merangkumi Pengurusan Pendaftaran Pelajar; dan Pengurusan dan Penyelenggaraan Maklumat Pendaftaran di Pusat Data. 

 

Selain itu juga, UMT merupakan Universiti Awam PERTAMA yang mendapat akreditasi ISO 9001:2015 (Sistem Pengurusan Kualiti). Pencapaian ini telah diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records.

 

Keterlihatan UMT di peringkat global juga terserlah melalui pencapaian yang membanggakan telah diraih di peringkat antarabangsa dimana Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP) telah berjaya menjadi hos program Lancet Countdown on Health and Climate Change 2020 yang dilancarkan di UMT pada tahun lalu.

 

Bertepatan dengan konvokesyen norma baharu, para graduan yang menghadiri Majlis Konvokesyen Ke-18 telah menjalani ujian swab dalam tempoh tiga (3) hari sebelum hadir ke majlis konvokesyen yang ditanggung sepenuhnya oleh UMT serta melaksanakan saringan dan pemantauan kesihatan selama 10 hari berturut-turut bagi memastikan mereka sihat dan tidak bergejala. Selain perlu memakai pelitup muka sepanjang berada dalam majlis dan semasa menerima skrol ijazah masing-masing.

 

Pro-Canselor UMT, YBhg. Tan Sri Samsudin Osman mewakili Canselor UMT, Sultanah Nur Zahirah menyampaikan penganugerahan kepada graduan yang diraikan di majlis konvokesyen UMT ke-18 (Siri Pertama) secara hibrid pada hari ini.

 

 

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu

27 Mac 2021