UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Pulau Bidong: Integrasi antara pelancongan, warisan dan penerokaan ilmu

Pulau Bidong: Integrasi antara pelancongan, warisan dan penerokaan ilmu

Thursday, 24/02/2022

Share This Article :

Pulau Bidong merupakan sebuah pulau yang terletak di daerah Kuala Nerus, Terengganu dengan berkeluasan 203 hektar persegi.  Ia juga dikenali oleh penduduk tempatan sebagai Pulau Vietnam, yang mana ia pernah dijadikan sebagai pusat penempatan pelarian daripada negara Vietnam suatu ketika dulu, sekitar tahun 1976 – 1991.

 

Menurut catatan oleh Lembaga Muzium Negeri Terengganu, kependudukan pelarian Vietnam di Pulau Bidong bermula pada Ogos 1978 apabila Kerajaan Persekutuan mewartakannya sebagai pusat penempatan bagi memudahkan urusan bantuan perubatan, makanan dan kemanusiaan kepada warga Vietnam yang melarikan daripada krisis peperangan di negara mereka.

 

Pada Oktober 1978 jumlah pelarian mencecah sehingga 60,248 orang pelarian direkodkan ditempatkan di pulau ini. Sehinggalah pada 30 November 1991, Pulau Bidong diserahkan semula kepada Kerajaan Negeri Terengganu.  Bermula tahun 2015, Pulau Bidong berada di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Kuala Nerus, selepas ia diwujudkan sebagai daerah baharu yang ke – 8 diasingkan daripada Daerah Kuala Terengganu.

 

Sejak kebelakangan ini, nama Pulau Bidong semakin dikenali umum selepas usaha – usaha dilakukan oleh Kerajaan Negeri untuk memajukan lagi Pulau Bidong sebagai pelancongan berasaskan warisan.

 

Usaha ini bukanlah sesuatu yang baharu malah telah bermula sejak tahun 1991 selepas penutupan secara rasmi pusat penempatan pelarian Vietnam ataupun kem ‘orang hanyut’ Vietnam. Pulau Bidong masih dilawati saban tahun oleh bekas penghuni atau waris yang pernah berada di sini bagi mengimbau kenangan dan menziarahi kubur pelarian yang meninggal semasa berada dalam kem pelarian.

 

Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu sentiasa memberikan tumpuan dan usaha bagi menjadikan Pulau Bidong sebagai sebuah lagi destinasi pelancongan pilihan selain pulau – pulau terkenal yang sedia ada seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Kapas dan Pulau Tenggol.

 

Malah, Pulau Bidong turut mempunyai keunikkan yang tersendiri untuk ditawarkan kepada para pelancong selepas menjadi kawasan larangan selama hampir 15 tahun.

Di kawasan jeti utama pulau ini diuruskan oleh Lembaga Muzium Negeri Terengganu. Di sini terdapat tapak kawasan perkhemahan untuk pengunjung dengan kemudahan tandas dan surau. Pelancong boleh memilih untuk datang secara kunjungan harian atau bermalam dengan mendirikan khemah di tapak yang disediakan. Terdapat dua pengusaha pelancongan yang beroperasi di sini, iaitu Summerset Bidong Island yang mempunyai pusat selaman, Divex Garage dan Bidong Bay Campsite turut menawarkan tapak perkhemahan dan penginapan.

 

Tidak jauh daripada kawasan jeti terdapat sebuah pusat inkubator pembiakan batu karang yang diusahakan oleh Yayasan Coral Malaysia (YCM). Pusat ini menjalankan aktiviti pembiakan koloni batu karang di beberapa lokasi dasar laut sekitar Pulau Bidong bersama komuniti tempatan.

 

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) turut mempromosikan Pulau Bidong sebagai destinasi pelancongan. Pada penghujung November tahun 2021, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri telah melancarkan tapak selaman baharu yang diletakkan sebanyak 11 monumen mercu tanda mini mewakili setiap negara ASEAN.

 

Sebelas mercu tanda mini tersebut ialah Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur (KLCC), Masjid Sultan Haji Omar Ali Saifuddien (Brunei), Cambodia Independence Monument (Kemboja), Patuxai Monument (Laos), Indonesia National Monument (Indonesia) dan Shwedagon Pagoda (Myanmar). Selain itu, Joe Rizal monument (Filipina), Merlion (Singapura), Wat Arun Ratchawararam Ratchaworamahawihan (Thailand), Tran Quoc Pagoda (Vietnam) dan logo ASEAN Secretariat (ASEAN) turut diletakkan di tapak selaman tersebut.

 

Setiap monumen ini dibina khas bagi menunjukan kepelbagaian dan perpaduan budaya antara negara – negara ASEAN dan bakal menarik pelancongn dan penggiat selam skuba untuk meneroka tapak selaman terbaharu ini.

 

Lokasi selaman lain yang sedia ada di Pulau Bidong ialah Galeri Dasar Laut, Ladang Coral, Christmas Garden, Pulau Karah, Terumbu Kerisi, Terumbu Tenggiri, Karang Tengah, Gorgonian Garden, Karang Deloh, Pulau Batu Tengkorak dan beberapa lagi lokasi selaman yang masing – masing mempunyai keunikkan tersendiri. Malah tapak selaman ini di Pulau Bidong mampu menjadi tarikan utama untuk datang ke Negeri Terengganu. Pakej tapak selaman ini pastinya menjadi pilihan baharu kepada penggiat selam skuba selain Pulau Tenggol, Pulau Redang dan Pulau Perhentian.

 

Pulau Bidong juga terdapat pusat penyelidikan yang dimiliki oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT), dikenali sebagai Stesyen Penyelidikan Alami Pulau Bidong. Ia berfungsi sebagai pusat penyelidikan lapangan, lokasi pembelajaran dan pengajaran luar kampus secara praktikal kepada para pelajar dalam bidang sains marin, perikanan dan bidang – bidang berkaitan kelautan. Kajian ekosistem batu karang antara penyelidikan yang sedang dijalankan di sini bagi mengenalpasti kelestarian hidupan batu karang untuk difahami bukan sahaja di Pulau Bidong malah di terumbu karang utama negara ini.

 

Selain itu stesyen ini sentiasa menjadi lokasi acara – acara utama di Pulau Bidong serta menjadi pusat latihan selaman agensi keselamatan kerajaan dan korporat. UMT turut menubuhkan Pusat Selam Skuba (UMT Dive Centre) bagi melatih dan menyokong aktviti selam skuba di Pulau Bidong, bukan sahaja kepada para pelajarnya malah turut dibuka kepada orang awam yang berminat untuk mendapatkan lesen menyelam. UMT turut meneroka penyelidikan dalam bidang arkeologi bawah air dengan mengenalpasti tapak kapal karam yang berusia ratusan tahun di perairan Pulau Bidong untuk dijadikan sebagai pusat latihan arkeologi bawah air dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara dan syarikat korporat.

 

Namun begitu, tidak seperti pulau pelancongan yang lain, Pulau Bidong mempunyai kekangannya sendiri kerana bilangan kemudahan penginapan yang masih terhad dan kebenaran berkunjung yang dikawal atas faktor keselamatan dan kepentingan melindungi pelbagai tapak tinggalan sejarah dan struktur binaan lama.

Oleh kerana bilangan bilik penginapan yang terhad, kekerapan pengangkutan bot ke sini juga agak kurang berbanding ke Pulau Redang. Model pelancongan berasaskan warisan dan kesediaan Pulau Bidong untuk ditawarkan kepada pelancong dan keupayaan kemudahan asas yang ada masih perlu dipertingkatkan lagi jika ingin dijadikan sebagai destinasi pelancongan umum sepenuhnya.

 

Pulau Bidong berpotensi untuk dibangunkan dengan lebih baik lagi jika dapat menggabungkan ketiga – tiga elemen iaitu pelancongan, warisan dan penerokaan ilmu dapat ditawarkan kepada pelancong. Ia boleh menjadi produk eksklusif yang unik dan tidak terdapat dalam pakej pelancongan seperti pulau – pulau yang lain. Sebagai komuniti sedia ada di Pulau Bidong, iaitu UMT, Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Yayasan Coral Malaysia dan operator pelancongan boleh membentuk satu konsortium khas bagi membangunkan pakej ke Pulau Bidong. Kemudahan dan peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Terengganu setiap tahun perlu dipastikan memberikan manfaat dan menyokong pembangunan secara lestari serta aktiviti pelancongan di Pulau Bidong.

 

Disediakan oleh:

 

Mohd Izham Mohd A Wahid

Ketua Penolong Pendaftar

Pejabat Komunikasi Korporat, Universiti Malaysia Terengganu