UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT Tuan Rumah Kejohanan e-Sailing League 2020

UMT Tuan Rumah Kejohanan e-Sailing League 2020

Friday, 12/06/2020

Share This Article :

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) buat julung kalinya menganjurkan kejohanan sukan pelayaran secara maya ekoran keterbatasan akibat pandemic COVID-19. Ia merupakan penganjuran pertama dalam sukan pelayaran di peringkat kebangsaan bagi acara e-sport di platform rasmi pelayaran secara maya, ‘Virtual Regatta’.

 

Penganjuran tersebut dinamakan UMT Terengganu e-Sailing League 2020 dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu dan Terengganu Windsurfing Sailing Association (TWSA).

 

Terengganu e-Sailing League 2020 bermula pada 12 Jun 2020 meliputi enam siri penganjuran dengan mengumpulkan 170 peserta dari dalam dan luar Negara iaitu 36 orang peserta IPT, 2 orang OKU, 3 atlet kebangsaan persediaan olimpik Road to Tokyo serta 2 Indonesia dan 2 Brunei.

 

Bagi bekas pelayar Negara, Khairuddin Abdul Ghani berkata penganjuran itu mampu melepaskan kerinduan untuk beraksi di ‘gelanggang’ sebenar.

 

“Saya mula berjinak-jinak dengan sukan pelayaran sejak berusia lapan tahun. Pada ketika itu, saya hanya diperingkat boat optimist sahaja. Disebabkan masalah kesihatan, impian merangkul kejuaraan diperingkat seterusnya agak kabur.

 

“Namun setelah mendapat perkhabaran berkaitan penganjuran ini, saya terus jadi bersemangat dan kemahiran yang telah dipelajari suatu ketika dahulu akan digunakan dalam pertandingan kali ini. Sedikit sebanyak ia mampu melepaskan kerinduan dalam sukan pelayaran yang telah lama ditinggalkan.

 

Pertandingan ini terbuka kepada enam kategori iaitu Overall, Tertutup IPT, Bawah 12 tahun, 13 hingga 15 tahun, 16 hingga 21 tahun dan 22 tahun ke atas.

 

Sementara itu, Pengarah Pusat Pelayaran UMT, Mohd Hafizi Said berkata penganjuran sukan itu bagi meningkatkan motivasi pelayar dan sebagai platform pengajaran kepada pelajar serta pelayar muda.

“Antara objektif penganjuran kejohanan secara maya ini adalah untuk meningkatkan motivasi pelayar, atlet dan pelajar universiti yang amat rindukan pertandingan kerana tidak dapat menjalani latihan sebenar akibat COVID-19. Ujar beliau yang juga pensyarah Fakulti Pengajian Maritim UMT.

 

“Ia merupakan peluang terbaik buat para atlet untuk terus berlatih kerana pertandingan ini mirip pelayaran sebenar seperti mengaplikasi pemahaman undang-undang pertandingan, mempraktikkan strategi dan tektikal pertandingan, mengeratkan hubungan antara pelayar.

 

“Bagi pelajar UMT pula, ujian amali pelayaran yang sepatutnya dilaksanakan di air pada setiap semester telah mengunakan aplikasi Virtual Regatta ini sebagai medium pembelajaran dan latihan baharu dan ini juga menyokong usaha universiti dalam menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian.

 

Penganjuran itu juga akan diteruskan walaupun wabak COVID-19 pulih sepenuhnya kerana ia adalah sebahagian usaha awal bagi mencari jaguh e-sport negara yang akan bertanding di kejohanan e-sailing World Championship yang diadakan setiap tahun di peringkat dunia.

 

Untuk Keterangan lanjut :

 

Encik Mohd Hafizi Said

Pengarah

Pusat Latihan Pelayaran

Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Tel : 013-9190012

 

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu