Kuala Nerus – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerima kunjungan hormat daripada Mr. Pascal H. Grégoire, Duta Belgium sempena Majlis Penutup Program Pengajian Master Erasmus Mundus dalam Bidang Biodiversiti dan Ekosistem Tropika (TROPIMUNDO) 2019.

TROPIMUNDO merupakan program master Erasmus Mundus yang mengambil masa selama 2 tahun dalam bidang biodiversiti dan ekosistem tropika. Ianya merupakan program tajaan European Commission (EC) yang mana penyelaras utamanya ialah Université libre de Bruxelles (ULB), Belgium.

Profesor Dato` Dr. Nor Aieni binti Haji Mokhtar, Naib Canselor UMT dalam ucapannya  semasa majlis penutup program tersebut berkata kumpulan TROPIMUNDO ini adalah kumpulan kelima program TROPIMUNDO yang dianjurkan oleh UMT sejak tahun 2015. 

“Kohort pertama dengan penglibatan 13 pelajar, diikuti oleh kohort kedua 14 pelajar, kohort ketiga 18 pelajar, kohort keempat 17 pelajar dan kohort kelima TROPIMUNDO ini dengan 16 pelajar, dari 10 negara yang berlainan iaitu Belgium, Kanada, Perancis, Jerman, Hong Kong, India, Malaysia, Sepanyol, UK dan Amerika Syarikat”. Jelasnya.

Menurut Profesor Dato` Dr. Nor Aieni Binti Haji Mokhtar lagi kerjasama konsortium ini terhasil setelah termeterai dokumen memorandum persefahaman (MOU) antara UMT dan Universiti Libre De Bruxelles (“ULB”) dan UMT secara rasmi telah dilantik menjadi rakan konsortium pada 1 September 2014 untuk menyertai 12 buah universiti konsortium program mobiliti Tropimundo.

“Alhamdulillah pada hari ini, seramai 16 orang pelajar Tropimundo telah selesai menamatkan satu semester wajib pengajian mereka di UMT selama 5 bulan yang bermula pada Februari lalu”.

Tambahnya lagi Program ini juga merupakan penanda bahawa Pelajar Master Tropimundo dengan rasminya menjadi sebahagian daripada Alumni dan Duta dalam meningkatkan keterlihatan UMT di peringkat global dan antarabangsa dari aspek pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan di kalangan pelajar.

Dalam majlis ini juga UMT turut melahirkan penghargaan kepada Duta Besar Belgium ke Malaysia, atas sumbangan dan penyertaan beliau yang turut bersama-sama pelajar TROPIMUNDO melaksanakan kerja-kerja lapangan pemuliharaan dan pemantauan aktiviti penyu bertelur di Stesen Alami Santuari Penyu UMT, Chagar Hutang, Pulau Redang, Terengganu pada 10-12 April lalu. 

 

Ketua Unit Penyelidikan Penyu UMT (SEATRU, INOS), Dr. Mohd Uzair Rusli dan YBhg Dato Naib Canselor UMT telah menyerahkan T-Shirt sebagai pernyataan simbolik ‘The First Ambassador to Volunteer at Marine Turtle Field Station’ diberikan kepada Duta Belgium.

Program yang diadakan pada 16 Jun ini turut dihadiri oleh Professor Dr. Farid Dahdouh-Guebas, General Coordinator of TROPIMUNDO, University Libre Brussels (ULB), Belgium serta pegawai-pegawai utama UMT.

 

Dikeluarkan oleh :

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu