UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

SUASANA PANTAI ‘SELAMAT’ FAKTOR PENDARATAN PENYU

SUASANA PANTAI ‘SELAMAT’ FAKTOR PENDARATAN PENYU

Tuesday, 17/08/2021

Share This Article :

Kuala Nerus – “Kurang aktiviti masyarakat di kawasan pantai menjadi faktor penyu kembali bertelur”.

“Penyu yang bertelur itu berkemungkinan akan mendarat semula selepas 10 hingga 12 hari di pantai yang sama. Penyu akan bertelur secara purata lima kali ketika musim bertelur dan ia akan kembali bertelur di pantai yang sama setiap dua hingga tiga tahun”. Kata Dr Mohd Uzair Rusli, Ketua Penyelidik Sea Turtle Research Unit (SEATRU) merangkap Ketua Makmal Penyelidikan Luar, Institut Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Beliau mengulas selepas tular video seekor penyu agar yang mendarat untuk bertelur di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu semalam.

Ujarnya, spesis penyu itu merupakan populasi yang paling banyak bertelur di kawasan pantai negeri Terengganu.

“Memandangkan negara masih lagi dilanda pandemik, aktiviti atau kegiatan luar kurang dianjurkan di kawasan pantai dan ini mewujudkan situasi ‘selamat’ bagi penyu untuk bertelur tanpa sebarang gangguan atau ancaman.

“Penyu mula mencari kawasan bertelur seawal jam 3 petang lagi. Ini bukti bahawa jika kita jaga pantai dan jadikan kawasan tersebut ‘mesra penyu’, tidak mustahil penyu akan naik sepanjang 244  km pantai di negeri ini.

Beliau berkata, semua pihak perlu bekerjasama bagi memastikan spesis terancam itu terus kekal mendarat di pantai – pantai dalam negara.

“Untuk mendapat kelimpahan pendaratan penyu seperti ini, kita perlu gandakan usaha didik masyarakat terutamanya komunti persisir pantai. Kolaborasi melalui NGO, persatuan dan badan-badan lain amat diperlukan untuk bantu pihak berwajib dalam memelihara penyu. Sekurang-kurangnya mereka tahu perkara asas supaya tidak mengganggu penyu yang hendak naik bertelur.

“Usaha penyebaran maklumat berkaitan penyu itu perlu sebagai ‘ilmu’ luar kelas supaya setiap tindak tanduk masyarakat tidak menjadi ancaman kepada penyu.

Kata Dr. Uzair, beliau optimis pendaratan penyu bertambah sekiranya beberapa penambahbaikan dilakukan dipesisir pantai.

“Kita perlu tambah baik pantai kita seperti mengurangkan pencahayaan terus ke pantai. Limpahan cahaya perlu ditutup supaya tidak boleh dilihat dari arah laut. Tukar pencahayaan kepada lampu berwarna merah kerana penyu kurang sensitif dengan gelombang cahaya ini.

“Seterusnya, saya mencadangkan agar pihak berkaitan mempertimbangkan untuk menanam pokok renek di sepanjang pantai, contohnya pokok merambong yang didapati sesuai untuk melindungi penyu ketika aktiviti persarangan.

“Naikkan papan tanda pemberitahuan awam untuk didik pengunjung pantai berkaitan tindakan ‘do’s and don’ts’ ketika beriadah di kawasan pantai yang menjadi persarangan penyu.

Selain itu, Dr. Uzair turut bersedia untuk menawarkan kerjasama dalam bentuk kolaborasi pemindahan ilmu.

“UMT bersedia menawarkan latihan kepada mana-mana organisasi atau individu yang berminat untuk turut serta dalam usaha ini. Terbaru kami menerima pelawaan dari Pasukan Pengakap Kelana C, Kuala Terengganu yang bersedia untuk bekerjasama dengan Jabatan Perikanan melakukan aktiviti pemantauan secara berkala. seeloknya dari komuniti setempat untuk berganding bahu bersama memelihara pantai dan memantau aktiviti persarangan penyu ini. Katanya.

 

Dikeluarkan oleh :

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu