UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

YB Dato’ Seri Khaled Nordin mengadakan lawatan sulung ke pantai timur

YB Dato’ Seri Khaled Nordin mengadakan lawatan sulung ke pantai timur

Thursday, 16/02/2021

Share This Article :

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerima kunjungan daripada Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin semalam.

Lawatan kerja mantan Menteri Besar Johor ke-15 itu di sambut oleh pengurusan tertinggi serta pegawai-pegawai kanan UMT.

Dalam kerangka lawatan rasmi itu, beliau turut meninjau fasiliti dibawah seliaan UMT seperti kapal penyelidikan RV Discovery, pusat pengoperasian kapal layar serta peralatan yang menyokong kepada proses pengajaran dan pembelajaran dalam melahirkan mahasiswa yang holistik.

Selain itu, Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd. Ghaffar turut menyampaikan taklimat ringkas berkaitan aktiviti sukan layar yang disertai sekumpulan pelajar UMT yang berjaya mengharumkan negara apabila meraih tempat ketiga pada Kejohanan Kapal Layar Antarabangsa di Korea Selatan pada November tahun lalu yang juga merupakan pasukan tunggal dari institusi pengajian tinggi awam menyertai cabaran ini.

Beliau juga memaklumkan akan kesiapsiagaan pasukan UMT serta krew kapal RV Discovery untuk menyertai pameran maritim terbesar negara di langkawi menerusi penganjuran The 16th Langkawi International Maritime and Aerospace 2023 yang akan berlangsung pada Mei 2023.

Sementara itu, YB Menteri Pendidikan Tinggi turut mengambil peluang menyantuni pelajar-pelajar UMT termasuk kategori Orang Kelainan Upaya (OKU) yang sebahagian besar antaranya aktif dalam aktiviti sukan layar yang dibimbing oleh kakitangan Pusat Latihan Pelayaran (PLP).

UMT merupakan destinasi lawatan pertama yang dilakukan oleh beliau ke pantai timur sejak dilantik sebagai Menteri Pendidikan Tinggi di bawah pentadbiran Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim tahun lalu.

Turut hadir dalam program lawatan kerja dan Hi-Tea Menteri Pendidikan Tinggi bersama UMT iaitu Ahli Lembaga Pengarah UMT, Mohd Khairul Hakimi Mohd Nawi, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Marinah Mohd Ariffin dan Pro Naib Canselor, Prof. Dr. Fauziah Abu Hasan.

Dikeluarkan oleh :

Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu