KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) buat julung kalinya telah berkolaborasi menerusi pelayaran saintifik bersama dua agensi di bawah State Oceanic Administration, China; First Institute of Oceanography (FIO) dan National China Sea Marine Forecasting Center (NMFC). Kerjasama strategik tersebut menyaksikan Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), UMT di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi melaksanakan misi pelayaran berkaitan dinamik lautan yang dipengaruhi kepelbagaian musim di sekitar perairan Laut China Selatan dan Selat Melaka.

Menurut Profesor Madya Dr. Mohd Fadzil Mohd Akhir, Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Perkhidmatan), INOS selaku ketua saintis berkata penyelidikan ini memberi tumpuan kepada dua matlamat iaitu untuk memahami dinamik ‘upwelling’ yang merupakan proses utama dalam menggalakkan produktiviti air laut seterusnya meningkatkan industri perikanan negara.

“Dengan memahami kesan perubahan iklim serta pengaruh musim terhadap arus lautan, kajian saintifik yang terperinci membolehkan untuk memahami peranan cuaca dan arus terhadap sumber perikanan di perairan negara kita”.

“Pembinaan sistem ramalan lautan yang sedang dibangunkan dalam usahasama ini bakal menggunakan data lautan sebagai kriteria utama dalam memastikan produk yang dihasilkan adalah lebih tepat. Sistem ramalan ini bakal membantu dalam meramal suhu, arus dan gelombang bagi memudahkan akses orang awam terutamanya pengamal industri seperti perikanan dan petroleum. Selain itu, ia membantu proses mencari dan menyelamat  sekiranya berlaku sebarang kecemasan seperti bot karam dan limpahan minyak”.

“Penggunaan teknologi terkini dalam pemgambilan data seperti suhu, saliniti, arus, nutrien, klorofil dan mikroplastik dilakukan. Turut melaksanakan pemantauan jangka panjang menggunakan boya dan sistem ‘mooring’ yang mana dapat membantu dalam memberi sistem ramalan laut yang lebih tepat”.

Pelayaran saintifik merentas Laut China Selatan dan Selat Melaka ini bermula 16 Julai sehingga 30 Julai 2018 dengan menaiki kapal RV Discovery milik UMT. Pelayaran ini menggabungkan usaha pelbagai saintis serta kepakaran teknologi dari kedua-dua negara. Pelayaran ini melibatkan lebih dari 20 saintis (11 dari Malaysia dan 11 dari China). 

Tambah Profesor Madya Dr. Mohd Fadzil Mohd Akhir lagi, kerjasama dan kajian yang dijalankan merupakan satu anjakan baru dalam kajian oseanografi. Pemindahan kepakaran dan ilmu daripada negara seperti China telah banyak membantu UMT kehadapan dalam penyelidikan yang sebelum ini kurang diberi perhatian.

 

Untuk keterangan lanjut:

Profesor Madya Dr. Mohd Fadzil Bin Mohd Akhir

Timbalan Pengarah (Penyelidikan & Perkhidmatan)

Institut Oseanografi Dan Sekitaran (INOS)

Universiti Malaysia Terengganu

Tel: 09-668 3905/3961

Emel : mfadzil@umt.edu.my

 

Dikeluarkan oleh :

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu

Tel : 09-668 4418/4261