UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Lebih 1,000 ikan nemo dilepaskan di perairan Pulau Bidong mendapat pengiktirafan MBOR

Lebih 1,000 ikan nemo dilepaskan di perairan Pulau Bidong mendapat pengiktirafan MBOR

Wednesday, 17/08/2022

Share This Article :

KUALA NERUS – Terengganu melakar satu lagi sejarah semalam dengan mendapat pengiktirafan dalam ‘The Malaysia Book of Records’ bagi program pelepasan 1,270 ekor anak ikan Inggu di perairan Pulau Bidong sebagai yang pertama seumpamanya di negara ini.

 

 

Program tersebut adalah acara kemuncak bagi penganjuran Bidong Merdeka Dive 2022 yang merupakan acara tahunan diadakan di Pusat Penyelidikan Alami Marin UMT, Pulau Bidong sejak 2008.

 

Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata gimik pelepasan ikan inggu atau Clown Fish itu sebagai simbolik kepada kebebasan sempena bulan kebangsaan dan juga kempen pemuliharaan hidupan marin.

 

“Bidong Merdeka Dive 2022 juga sebagai medium penyebaran ilmu tentang pemuliharaan khazanah yang terancam di dasar laut, kepentingan pemuliharaan ekosistem marin dan secara tidak langsung ia menyumbang ke arah meningkatkan ekonomi di Negeri Terengganu melalui kemasukan pelancong.

 

‘Kesemua ikan ini ditetaskan dan diternak di Pusat Penetasan Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP) UMT setelah beberapa siri kajian dan penyelidikan telah dijalankan oleh sekumpulan penyelidik.

 

Tambah beliau, UMT sebagai universiti berfokus amat menitikberatkan isu-isu berkaitan hidupan marin serta alam sekitar.

 

“Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sebagai sebuah universiti berfokus dalam bidang marin mengambil serius mengenai kepentingan konservasi alam sekitar marin yang perlu diserapkan kepada masyarakat bagi membentuk lebih ramai generasi yang berpengetahuan dan mempunyai berkesedaran tinggi terhadap kepentingan menjaga kelestarian ekosistem”.

 

 

Penganjuran program kali ni turut mendapat sokongan padu daripada Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu bagi mempromosikan aktiviti selam skuba sebagai agenda pelancongan negeri.

 

Ujarnya, kerjasama dan sokongan tenaga, kepakaran dan juga kewangan daripada badan kerajaan, badan korporat swasta, NGO dan perseorangan amat diperlukan bagi merealisasikan program ini seterusnya mempromosi aktiviti pemuliharaan alam sekitar dan khazanah dasar laut milik negara yang dicintai.

 

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu