UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT ANJUR PERSIDANGAN PELANCONGAN GLOBAL SECARA DALAM TALIAN

UMT ANJUR PERSIDANGAN PELANCONGAN GLOBAL SECARA DALAM TALIAN

Tuesday, 21/09/2021

Share This Article :

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial (FPEPS) telah berjaya menganjurkan Global Tourism Conference 2021 (GTC2021) secara atas talian pada 7-9 September 2021. Kejayaan penganjuran GTC2017 yang pertama serta sambutan menggalakkan daripada peserta tempatan dan antarabangsa telah mendorong pihak FPEPS untuk menganjurkan persidangan GTC buat kali kedua. Persidangan ini mengkhususkan kepada bidang Pelancongan dan Hospitaliti. Penganjuran GTC2021 dijalankan secara bersama dengan Kerajaan Negeri Terengganu dan Victoria University, Australia.

 

Bertemakan Tourism Innovation and Digitalisation: A New Way in Redesigning Tourism Landscape” persidangan antarabangsa kali kedua ini melibatkan 81 buah kertas kerja dari peserta pusat pengajian tinggi tempatan dan luar negara. Tema ini telah dipilih sebagai fokus perbincangan utama sesi pembentangan bagi memacu kelangsungan industri pelancongan negara yang terjejas teruk sepanjang tempoh pandemik Covid-19 melanda negara.

 

Keperluan kepada pemikiran reka bentuk semula pelancongan baharu adalah salah satu usaha penting daripada pihak penganjur persidangan bagi mengembalikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terpilih utama di peringkat global melalui inovasi pelancongan secara digitalisasi bagi memangkin industri pelancongan untuk bangkit semula mendepani kesan pandemik.

 

Persidangan ini turut mendapat penyertaan menggalakkan daripada peserta antarabangsa terdiri daripada negara Australia, Portugal, Thailand, Jepun, Nigeria, Saudi Arabia, Vietnam dan Indonesia.

 

Hasil pembentangan kertas kerja yang terpilih akan diterbitkan di dalam beberapa buah jurnal seperti Journal of Sustainability Science and Management (JSSM), Journal of Business and Social Development (JBSD), TEAM Journal of Hospitality and Tourism, Journal of Tourism, Hospitality and Culinary Arts (JTHCA), BIMP-EAGA Journal for Sustainable Tourism Development, International Journal of Event, Tourism and Hospitality, Asian Academy of Management Journal (AAMJ), Journal of Global Hospitality and Tourism (JGHT) dan Journal of Economics and Sustainability.

 

Majlis penutup persidangan GTC2021 telah dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Y.A.B. Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar.  Dalam ucapan tersebut, beliau menjelaskan bahawa wabak Covid-19 telah memberi impak yang amat besar kepada sektor pelancongan, bukan sahaja di Malaysia, tetapi di seluruh dunia. Beliau menegaskan bahawa wabak ini menjadi cabaran yang amat berat terhadap industri pelancongan di negara ini dimana pemain industri terjejas teruk akibat daripada penutupan sempadan negeri dan negara, yang terpaksa dilaksanakan demi mencegah penularan wabak COVID-19.

 

Pada persidangan tersebut, beliau turut menekankan bahawa pemain industri terutamanya dalam bidang perhotelan, agensi pelancongan dan syarikat pengangkutan perlu sentiasa berinovasi dan kreatif dalam mengahadapi situasi mencabar kini demi menjamin kelangsungan industri.

 

Beliau juga menyentuh keperluan digitalisasi sebagai inovasi penting dalam industri pelancongan dimana dengan penggunaan teknologi yang canggih, lebih banyak kolaborasi dan perkongsian pintar tanpa sempadan dapat dilaksanakan. Beliau juga menekankan bahawa akibat daripada pandemik COVID-19 ini, peluang untuk sektor pelancongan berkembang secara digital adalah lebih cepat serta dapat membangun dengan lebih baik dan lestari.

 

Pada akhir ucapan, beliau berharap agar persidangan GTC2021 dapat membantu pihak-pihak berkepentingan di dalam merancang dan melaksanakan program-program yang dapat membawa kepada jalan penyelesaian serta membuka peluang dalam industri pelancongan bukan sahaja di Terengganu, malah di peringkat antarabangsa.

 

Bersesuaian dengan tema GTC2021, penganjur telah menjemput tiga orang pengucaptama terkemuka iaitu Professor Brian King (The Associate Dean and Professor in the School of Hotel and Tourism Management at Hong Kong Polytechnic University), Professor Cihan Cobanoglu (The McKibbon Endowed Chair Professor of the School of Hospitality & Tourism Management at the University of South Florida Sarasota-Manatee campus) dan Professor Michael Hall (Professor in Marketing in the Department of Management, Marketing & Entrepreneurship at the University of Canterbury, Christchurch, New Zealand) serta seorang penceramah industri iaitu Mr. John Chong (Owner of Summer Bay Resort, Pulau Lang Tengah). Pihak penganjur turut menjemput Profesor Ramayah Thurasamy dari Universiti Sains Malaysia untuk memeriahkan sesi pra persidangan sehari sebelum persidangan berlangsung.

 

Penganjuran GTC2021 dilaksanakan dengan model yang sedikit berbeza berbanding dengan konferensi lain.  Melalui GTC2021, peserta konferensi digalakkan untuk turut sama mempromosikan Terengganu sebagai salah sebuah destinasi pelancongan utama di Malaysia melalui pertandingan “Terengganu Unforgettable Moment ”.

 

Selain daripada itu, kesemua peserta  dibekalkan dengan baucar yang menawarkan diskaun hebat daripada pelbagai pengiat industri pelancongan dan perhotelan Terengganu dengan tujuan untuk merancakkan lagi industri pelancongan Terengganu. Buat pertama kalinya, GTC2021 juga turut menyediakan imbuhan kepada peserta dalam bentuk geran penyelidikan.  Geran ini bertujuan untuk memacu perkembangan industri pelancongan khasnya di Terengganu di dalam jangka masa pendek dan juga jangka masa panjang. Geran penyelidikan tersebut telah disumbangkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu.

 

Pada majlis penutup GTC2021, sebanyak tiga (3) kertas kerja telah diumumkan sebagai pemenang kertas kerja terbaik, sembilan (9) pemenang Cabutan Bertuah yang berupa pakej penginapan di hotel dan resort di Terengganu, lapan (8) pemenang bagi “Terengganu Unforgettable Moment Contest “ dan lima pemenang Geran Penyelidikan GTC2021 dengan jumlah keseluruhan geran adalah RM41,000. 

 

Pihak penganjur turut merakamkan ucapan penghargaan kepada penaja iaitu Pusat Pemindahan Ilmu dan Jaringan Industri, UMT serta kesemua rakan strategik yang terdiri daripada Primula Beach Hotel, KETENGAH, Ziq Bakery & Cake, Laguna Redang Island Resort, Summer Bay Resort, Grand Ion Delemen Hotel, Genting Highlands, Sumai Hotel Apartment, Duyong Marina & Resort, Raia Hotel, Homestay Teluk Ketapang, Lambo Sari, TY Hotel, Jakel, Aputirich dan Warisan Spa di atas sumbangan dan kerjasama menjayakan GTC2021.

 

Disediakan oleh:

 

Prof. Madya Dr. Hafiza Aisyah Hashim dan Dr. Fathilah Ismail

Pensyarah

Fakulti Pengajian Ekonomi dan Pembangunan Sosial

Universiti Mlaaysia Terengganu

 

 

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu

Emel: pro@umt.edu.my

Tel: 09-668418/4261