UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Bakul Sumbangan Rahmah KPT- UMT Untuk Mangsa Banjir Johor

Bakul Sumbangan Rahmah KPT- UMT Untuk Mangsa Banjir Johor

Monday, 13/03/2023

Share This Article :

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah melancarkan Misi Sukarelawan Banjir dan UMT Cakna Mahasiswa yang telah berlangsung selama 3 hari bermula dari 7 Mac sehingga 9 Mac 2023 terdiri daripada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMT dan para staf HEPA UMT.

Misi tersebut dijalankan di sekitar kawasan Johor yang melibatkan kawasan Batu Pahat, Kluang dan Kota Tinggi yang mana merupakan kawasan pelajar-pelajar Universiti Malaysia Terengganu terkesan dengan bencana banjir sejak awal Mac lalu. Bakul Rahmah KPT-UMT yang berisi bekalan makanan asas diberikan kepada para mahasiswa yang terkesan dan juga sedikit insentif kewangan bagi meringankan beban pelajar UMT yang terkesan dengan bencana yang berlaku.

Inisiatif membantu pelajar ini bermula dengan pengumpulan maklumat mahasiswa melalui pengisian borang digital ‘Google Form’ bagi mendapatkan maklumat seperti nama, alamat kediaman dan juga status terkini tentang keluarga mangsa dan seterusnya misi dijalankan berdasarkan maklumat yang diterima.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT (TNC HEPA), Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain berkata, Misi Sukarelawan Banjir ini adalah salah sebuah medium untuk menyalurkan bantuan kepada para mahasiswa yang terkesan dengan banjir. Misi ini juga bertujuan untuk meringankan beban mahasiswa UMT sebelum memulakan semester baharu yang akan datang tidak lama lagi. Dalam pada itu, misi ini juga adalah salah satu inisiatif bagi merapatkan hubungan antara pihak pengurusan universiti dan juga mahasiswa.

Bantuan ini telah diserahkan kepada mahasiswa yang terkesan dan juga sebanyak 70 Bakul Rahmah KPT-UMT telah disalurkan kepada penduduk di Kota Tinggi. TNC HEPA UMT dan pasukan sukarelawan juga telah turun padang ke beberapa lokasi seperti Pusat Perpindahan Sementara (PPS) dan rumah-rumah pelajar yang terkesan dengan banjir baru-baru ini.