UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT tubuh Diving School dalam kampus pertama dalam negara

UMT tubuh Diving School dalam kampus pertama dalam negara

Tuesday, 09/08/2022

Share This Article :

Kuala Nerus – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mencipta sejarah baharu apabila institusi pengajian tinggi yang masyhur di pantai timur itu berjaya menubuhkan UMT Diving School  dalam kampus pertama seumpamanya dalam kalangan universiti awam.

 

Lebih mengujakan apabila Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar duli merasmikan pusat selam itu di Stesen Penyelidikan Alami Marin UMT, Pulau Bidong.

 

Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata, keberangkatan baginda amat bermakna kepada UMT dan secara tidak langsung mencerminkan keprihatinan terhadap pengurusan marin dan alam sekitar yang menjadi bidang utama kajian penyelidik UMT.

 

“Penubuhan pusat selam ini bertepatan dengan bidang tujahan UMT dan ia penting bagi menyokong pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran.

 

“Ia juga menjadikan UMT sebagai satu-satunya universiti yang mempunyai ‘dive centre’ yang beroperasi di kampus utama dan Stesen Penyelidikan Alami Marin Pulau Bidong,”

 

Beliau berkata, pusat selam itu berperanan dalam menyediakan perkhidmatan operasi bagi semua aktiviti selam skuba di UMT merangkumi perkhidmatan penyelam professional, aktiviti penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran, kemudahan sewaan peralatan dan arkeologi bawah air.

 

“Dengan penubuhan ini diharapkan semua pihak dapat memberikan komitmen dan dedikasi yang tinggi kepada penubuhan pusat selam ini serta operasinya agar dimanfaatkan terutamanya pelajar, penyelidik dan agensi luar.

Terdahulu, Stesen Penyelidikan Alami Marin, Pulau Bidong telah dianugerahkan hak milik pajakan sementara atau TOL selama 99 tahun oleh Kerajaan Negeri Terengganu kepada UMT bagi menyokong aktiviti kurikulum, kokurikulum serta penyelidikan.

 

UMT gah membawa slogan ‘Terokaan seluas lautan demi kelestarian sejagat’ itu telah mendapat pelbagai pengiktirafan seperti penarafan oleh Times Higher Education (World University Rankings), Times Higher Education (Impact Rankings), Times Higher Education (World University Rankings by Subject), QS World University Rankings, QS University Rankings (Asia), UI GreenMetric, Malaysia Research Assessment (MyRA) dan SETARA.

 

 

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu

Emel: pro@umt.edu.my

Tel: 09-668418/4261