KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sekali lagi merapatkan jurang antara Universitas Teuku Umar (UTU) dan Universitas Malikussaleh (UNIMAL) apabila memeterai perjanjian persefahaman (MoU), di sini.

Melihat potensi kedua-dua organisasi tersebut yang juga merupakan institusi kerajaan terkenal di Aceh, Indonesia, UMT mengambil peluang untuk melebarkan jaringan berkaitan pendidikan dan penyelidikan memandangkan institusi terbabit memiliki kekuatan dalam bidang pertanian dan marin.

Naib Canselor UMT, Profesor Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar berkata, pelbagai aspek boleh diketengahkan dan memberi manfaat melalui ikatan perjanjian itu.

“Jalinan kerjasama ini akan memberikan perluasan jaringan hubungan antarabangsa melibatkan program akademik dan mobiliti pelajar, pertukaran pensyarah, aktiviti-aktiviti latihan dan sangkutan serta penyelidikan dan penerbitan secara bersama yang akan membawa manfaat dan hasil membanggakan universiti masing-masing.  

“Kedudukan kampus UTU dan juga UNIMAL di pesisir laut serta mempunyai latar belakang mirip UMT dilihat mampu memberi rangsangan dan perkongsian kepakaran yang mampu melonjakkan lagi momentum penyelidikan dan seterusnya meletakkan UMT sebagai institusi pilihan diperingkat antarabangsa.

“InsyaAllah, kita yakin dengan perjanjian ini juga mampu menarik lebih ramai pelajar terutamanya tenaga pengajar di kedua-dua institusi tersebut melanjutkan pengajian di UMT”. Ujar beliau.

Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) tersebut menyaksikan wakil institusi masing-masing menandatangani dokumen perjanjian diwakili oleh Profesor Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar, Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Prof. Dr. Jasman J. Ma’aruf, Rektor Universitas Teuku Umar serta Prof. Dr. Apridar, Rektor Universitas Malikussaleh.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah pegawai-pegawai utama dan pensyarah UMT serta delegasi daripada UTU dan UNIMAL.

 

Dikeluarkan oleh :

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu