UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

PERGERAKAN PULANG PELAJAR UMT PATUH SOP

PERGERAKAN PULANG PELAJAR UMT PATUH SOP

Thursday, 30/04/2020

Share This Article :

Kuala Nerus, 30 April – Kegembiraan dan keterujaan jelas terpancar di wajah 351 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk pulang bertemu keluarga setelah lebih 40 hari berada di dalam kampus berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.
 
Menurut Profesor Dato’ Dr. Nor Aieni binti Haji Mokhtar, Naib Canselor UMT seramai 351 pelajar menjadi kelompok pertama yang akan pulang ke pangkuan keluarga masing-masing dalam operasi penghantaran pulang pelajar UMT pada malam ini.
 
“Penghantaran pelajar zon Timur bermula jam 9 malam ini meliputi 65 pelajar Terengganu, 176 pelajar Kelantan dan 110 pelajar Pahang dengan menggunakan 23 buah bas dan sebuah van”.
 
“UMT telah mengatur persiapan rapi dalam memastikan pematuhan prosedur pergerakan menghantar pulang pelajar serta kelancaran dan keselamatan pelajar hingga tiba ke destinasi masing-masing.
 
Tambah beliau, bagi memastikan kelancaran proses penghantaran itu, UMT turut mengambil langkah-langkah keselamatan sebelum, semasa dan selepas yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti pemeriksaan suhu badan atau saringan kesihatan oleh Pusat Kesihatan Universiti UMT sebelum menghantar pelajar pulang dengan selamat.
 
Menurutnya lagi, bagasi serta pengangkutan yang digunakan untuk menghantar pelajar juga telah disanitasikan oleh anggota Bomba dan Penyelamat. Pelajar yang pulang pada malam ini turut dibekalkan pek makanan untuk memudahkan mereka bersahur (makan pagi bagi pelajar bukan beragama Islam).
 
Selain itu, sepanjang perjalanan, pelajar-pelajar akan ditemani oleh Liaison Officer (LO) dan dua orang pemandu bas yang ditugaskan mengikuti perjalanan terbabit sehingga ke destinasi yang dituju.
 
Mengulas lanjut, beliau berkata wakil keluarga akan menjemput pelajar di Ibu Pejabat Polis (IPD) dan Pejabat Daerah yang dikenal pasti. Ibu bapa yang berada dalam radius 10km boleh mengambil anak mereka, manakala bagi mereka yang berada lebih 10km pihak berkuasa akan menghantar pulang sampai ke rumah.
 
Profesor Dato` Dr. Nor Aieni turut menzahirkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada YB. Dato Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi di atas sokongan berterusan dalam memastikan anak-anak pelajar ini dapat pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat.
 
“Terima kasih juga kepada frontliner yang terlibat, agensi-agensi yang membantu seperti MKN, KKM, PDRM, Bomba serta para petugas yang berdedikasi dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab yang sukar ini”.
 
“Saya doakan agar perjalanan mereka ini selamat dan berharap pelajar-pelajar yang dikasihi dapat menjaga kesihatan dengan mengamalkan langkah-langkah yang telah disarankan oleh KKM selepas tiba di kediaman masing-masing dalam memutuskan rantaian COVID-19”. 
 
Pelepasan pelajar-pelajar berkenaan turut disaksikan oleh Naib Canselor UMT, Profesor Dato’ Dr. Nor Aieni binti Haji Mokhtar, Profesor Madya Dr. Hafiz Bin Zakariya, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEPA) UMT serta Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik.
 
Lebih 1,500 pelajar UMT akan dibawa pulang sepanjang tempoh PKP dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19.
 
Dikeluarkan oleh:
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)