UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT Terus Sohor Dipersada Dunia

UMT Terus Sohor Dipersada Dunia

Sunday, 15/09/2019

Share This Article :

Latar belakang dan pencapaian UMT sangat bertepatan untuk merealisasikan seruan YAB Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maritim melalui agenda Malaysia: a Maritime Nation. Peranan UMT di dalam bidang sains marin di peringkat nasional turut diperakui dengan kejayaan Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) UMT memperolehi status sebagai Pusat Kecemerlangan Institusi Tinggi (HICoE) dalam bidang oseanografi serta memperolehi pengiktirafan dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai Pusat Kecemerlangan Industri (ICoE) kluster Maritim. UMT juga diiktiraf oleh badan profesional iaitu The Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT) dalam bidang pengangkutan dan logistik maritim dengan penubuhan Pusat Pengangkutan dan Logistik Maritim (MALTrac) yang pertama di Malaysia. UMT telah juga menubuhkan Pusat Pelayaran dan sedang giat membangunkan sebuah Pelabuhan Pengajaran (teaching port) UMT dan Pusat Repositori Marin Kebangsaan.

 

 

Sumbangan kepakaran UMT (85% berkelulusan PhD) melalui kerjasama strategik di peringkat antarabangsa terbukti dengan pengiktirafan yang diperolehi daripada pelbagai badan antaranya International Oceanographic Data and Information Exchange (IODE) UNESCO di mana INOS UMT telah di pilih sebagai Regional Training Center (RTC) bagi Asia Pasifik di bawah Program Ocean Teacher Global Academy (OTGA). Sistem pengurusan data marin di INOS telah juga mencapai standard antarabangsa apabila di iktiraf sebagai satu-satunya Associate Data Unit (ADU) di bawah IODE yang memperolehi status akreditasi ADU. UMT bakal menerima dan diberi kepercayaan bagi menguruskan Sistem Pengurusan Data Oseanografi Negara (MyNODC) dari Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).

 

 

UMT sebagai sebuah universiti awam (UA) yang diasaskan sejak tahun 1979 sebagai Pusat Perikanan dan Sains Samudera UPM dan telah memainkan peranan besar dalam pembangunan pendidikan tinggi negara. Sehingga kini, UMT telah berkembang dengan pesat sebagai sebuah universiti berfokus di dalam bidang ilmu kelautan dan sumber akuatik. UMT juga telah memberikan sumbangan terhadap pembangunan negara dalam pendidikan maritim, kelestarian sumber dan khazanah marin dengan menyediakan tenaga kerja mahir dalam bidang berkaitan.

 

 

Industri maritim adalah sumber pertumbuhan ekonomi baharu Malaysia yang telah diperakui kepentingannya oleh YAB Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad sebagai Blue Economy melalui Ucaptama beliau sempena LIMA’19 National Maritime Conference pada 27 Mac yang lalu, maka UMT berada di kedudukan strategik untuk mendokong pembangunan industri maritim negara.

 

 

Legasi yang tercipta oleh UMT di dalam bidang tumpuan ini sejak 40 tahun lepas telah terbukti kerana telah berjaya mengeluarkan 30,180 graduan yang sekarang berkhidmat di seluruh negara dan juga di peringkat antarabangsa, antaranya telah memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, penggubal dasar di kementerian, Pengurus Kanan Operasi dan Kawal Selia Pelabuhan, usahawan agro yang berjaya dan kurator di World Maritime Museum, Dubai.

 

 

Fasiliti pengajaran dan penyelidikan di UMT khususnya dalam bidang maritim adalah bertaraf antarabangsa. Ianya merangkumi 4 pusat penyelidikan alami di pulau, tasik dan pesisir pantai Terengganu serta pusat simulator navigasi kapal yang pertama di Pantai Timur. UMT satu-satunya universiti yang memiliki kapal penyelidikan RV Discovery, makmal bergerak dan 17 bot sokongan yang telah berjaya melaksanakan beberapa ekspedisi penyelidikan dan pengumpulan data oseanografi dengan kerjasama universiti-universiti antaranya di United Kingdom, Amerika Syarikat, Jepun, Australia, Belgium, Perancis, China, Thailand dan Indonesia.

 

 

UMT menjadi rujukan kepada syarikat multinasional dalam bidang marin dan sumber akuatik seperti PETRONAS, Schlumberger, REPSOL, Port of Tanjung Pelepas, Kuantan Port Consortium, Blue Archipelago Berhad, Mhk Aquaculture, World Wide Fund Nature Malaysia, Aerospace Malaysia Innovation Malaysia, Sime Darby Sdn. Bhd, Exxon Mobil dan Shell. UMT juga menjalin kerjasama serantau dalam bidang perikanan dan maritim bersama universiti antarabangsa yang tersohor seperti University of South Brittany (France), National Taiwan Ocean University (Taiwan), Incheon National University (Korea), Shantou University (China), University Bung Hatta (Indonesia), Heriot-Watt University (UK), Korea Marine Equipment Research Institute (Korea), Busan Technology Park (Korea), SAMWOO Immersion (Korea), Australian Maritime College (Australia), Mokpo National Maritime University (Korea) dan lain-lain. Sumbangan UMT dalam bidang penyelidikan membantu Malaysia dalam menyediakan kerangka polisi bagi 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) terutama

SDG14 iaitu Hidupan di Lautan dalam mencapai agenda utama SDG Transformasi Dunia Kita: Agenda 2030 untuk pembangunan mapan.

 

 

Pencapaian penerbitan berimpak tinggi UMT, bagi tahun 2019 UMT telah menerbitkan sebanyak 495  penerbitan.

 

 

Universiti untuk masyarakat juga adalah komitmen UMT untuk membantu masyarakat pesisir dan kepulauan dalam meningkatkan taraf hidup mereka melalui program inovasi sosial. Pelbagai program pemindahan ilmu telah dilaksanakan bagi tujuan ini dan ianya termasuk teknologi pembiakan ikan dan udang,  merekabentuk peralatan penangkapan ikan dan ketam, membina terumbu tiruan, memberi panduan mengenai lokasi penangkapan ikan yang optima serta membina jeti terapung bagi kemudahan nelayan. Impak yang besar sumbangan UMT sangat relevan kepada komuniti dan masyarakat menerusi pelbagai program pemindahan ilmu dan teknologi yang telah memberikan manfaat kepada lebih 50,000 orang, khususnya rakyat di Terengganu. Pada tahun 2017, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menerima peruntukan dana penyelidikan strategik oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi tujuan pelaksanaan projek Penyelidikan Translasional. Sebanyak 15 projek telah diluluskan dengan peruntukan keseluruhan  berjumlah RM8.7juta.

 

 

UMT berjaya merealisasikan hasrat meningkatkan taraf sosioekonomi dan kebajikan komuniti dengan melaksanakan projek translasional berimpak tinggi iaitu Projek Inovasi Sosial-Penghasilan Madu Kelulut Stevia, Community Based Ecotourism (CBE) Development and Local B40 Community Empowerment, Integrasi Modul Terapi Seni Ekspresif Terhadap Kesejahteraan Hidup Ibu Tunggal, Kajian Memperkasakan Kualiti Hidup Nelayan Setiu Berteraskan Aktiviti Pelancongan, Program Keusahawanan Sosial Wanita & Flora Setiu demi Penggunaan Sumber Alam serta Kelangsungan Hidup yang Lestari dan Program Kajian Translasional Pengkulturan Makanan Hidup Akuakultur ARTEMIA untuk Komuniti Kuala Nerus dan Setiu, Terengganu.