UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

GRADUAN KEUSAHAWANAN AGENDA UTAMA PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA

GRADUAN KEUSAHAWANAN AGENDA UTAMA PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA

Tuesday, 07/07/2020

Share This Article :

Kuala Nerus, Universiti Malaysia Terengganu sekali lagi menerima kunjungan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui kunjungan YB Dato’ Dr Mansor bin Othman, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi sempena lawatan kerja ke UMT hari ini. Terdahulu UMT menerima kunjungan YB. Dato’ Dr Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi dalam program Outreach KPT ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) Pantai Timur.

Dato’ Dr Mansor dalam ucapannya berkata agenda utama lawatannya ke UMT adalah untuk melihat serta memperkasakan inisiatif keusahawanan di IPT Zon Pantai Timur.

“Agenda ini selaras dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi), untuk menyemai minda keusahawanan ke dalam seluruh sistem pendidikan tinggi dan mewujudkan sistem pendidikan yang mampu melahirkan graduan bercirikan keusahawanan dan menjadi penjana pekerjaan, serta memastikan kemampanan kewangan Institusi pendidikan Tinggi (IPT) Negara.”

Tambahnya kesan wabak COVID-19 yang melanda dunia bukan suatu perkara yang mudah bagi usahawan untuk terus bertahan dalam dunia perniagaan. Namun begitu, ilmu dan maklumat perlu dikuasai oleh usahawan bagi menangani masalah ini.

“Sikap tidak mengenal erti jemu dan susah seharusnya disemai di setiap diri individu yang bergelar usahawan agar terus berjaya menempatkan para usahawan Malaysia berada di peringkat global.”

“Semangat seperti inil juga seharusnya ada dalam diri graduan serta perlu mengubah minda untuk menjadi seorang yang mencipta kerja dan tidak bergantung untuk makan gaji semata-mata.”

Dalam lawatan ini juga Dato’ Dr Mansor turut di bawa melawat Projek Cendawan Tiram UMT yang diusahakan 15 komuniti ibu tunggal serta rakan industri bersama-sama 15 pelajar.

Sementara itu Profesor Dato` Dr. Nor Aieni binti Haji Mokhtar, Naib Canselor UMT dalam ucapan berkata pendidikan usahawan telah berlaku secara menyeluruh di UMT melalui ekosistem keusahawanan yang terdapat di UMT. 

 

“Pusat Keusahawanan dan Kerjaya (CEC), Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), UMT sentiasa membantu dalam melaksanakan program berbentuk keusahawanan serta kerjaya.”

“Selain itu juga, Pusat Pemindahan Ilmu dan Jaringan Industri (PIJI) turut memainkan peranan dalam membantu pensyarah, pelajar serta komuniti dengan mengadakan pelbagai program bersama rakan industri.”

“UMT telah melaksanakan pelbagai program keusahawanan kepada pelajar melalui Pusat Keusahawanan dan Kerjaya HEPA dalam usaha melahirkan graduan bercirikan keusahawanan unggul dan meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan.”

Beliau berkata berdasarkan statistik pada tahun 2019, sebanyak 10 peratus daripada graduan universiti itu telah berjaya menjadi usahawan dalam pelbagai bidang dan angka itu sangat membanggakan kerana melepasi sasaran kebangsaan iaitu enam peratus.

Pelbagai kejayaan telah dirangkul melalui program-program keusahawanan sama ada di peringkat universiti dan juga antarabangsa. Untuk memastikan kelangsungan kejayaan sebelum ini, antara inisiatif baru yang telah dilaksanakan adalah dengan menggunakan konsep Microfinancing,” ujarnya.

Tambahnya lagi, CEC turut melaksanakan program Usahaniaga@UMT dan Asnafpreneur dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi serta CELCOM. Selain daripada itu pemerkasaan aktiviti keusahawanan turut digerakkan melalui Koperasi Mahasiswa. Sehingga kini, seramai 300 orang pelajar telah menjadi anggota dan bergiat aktif.

UMT menyambut baik usaha dan hasrat kerajaan dalam menjadikan keusahawanan sebagai opsyen kerjaya selepas tamat pengajian.  Seterusnya dapat membantu mengurangkan kadar pengangguran graduan.

Lawatan kerja selama lima (5) hari yang bermula di Kuantan, Pahang, Kelantan dan berakhir di Terengganu adalah untuk melihat dan memperkasakan inisiatif keusahawanan di Institusi Pengajian Tinggi Zon Pantai Timur.

Lawatan kerja pada 6 Julai ini turut dihadiri Pegawai-Pegawai Utama UMT, para pensyarah serta komuniti setempat yang terlibat secara langsung dalam projek cendawan tiram.

 

Dikeluarkan oleh: Pejabat Komunikasi Korporat Universiti Malaysia Terengganu