UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

DEKATI PELAJAR B40 MELALUI SENTUHAN KASIH @ JPT 2019

DEKATI PELAJAR B40 MELALUI SENTUHAN KASIH @ JPT 2019

Thursday, 25/07/2019

Share This Article :

Kuala Berang – Buat julung kalinya Program Sentuhan Kasih @ JPT 2019 menggandingkan Jabatan Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Negeri dan Universiti Awam diadakan di 9 lokasi seluruh Malaysia bagi mendekati pelajar dari kumpulan B40.

Program Sentuhan Kasih Zon Pantai Timur yang diadakan pada 25 Julai 2019 ini merupakan lokasi kedua selepas program seumpama ini diadakan di Semporna pada 11 Julai lalu.

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berganding bahu bersama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dan Kolej Tingkatan Enam Hulu Terengganu (HUTECS) dalam menjayakan program ini di zon Pantai Timur.

YBhg. Profesor Ir. Dr. Noor Azuan bin Abu Osman, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarangsa UMT mewakili Naib Canselor,  Profesor Dato` Dr. Nor Aieni binti Haji Mokhtar dalam ucapannya berkata, HUTECS terpilih sebagai tuan rumah program ini berdasarkan lokasi yang strategik di Hulu Terengganu  memandangkan program ini mensasarkan pelajar dari kumpulan B40,  di samping HUTECS sendiri merupakan sekolah angkat UMT.

Menurutnya lagi program ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan penerangan dengan lebih jelas mengenai dasar kemasukan, syarat kemasukan, kaedah permohonan dan proses pemilihan pengambilan kepada pelajar bagi Lepasan SPM/Setaraf dan STPM/Setaraf dari kalangan masyarakat luar bandar terutama anak-anak kumpulan B40 di daerah ini yang bakal menduduki peperiksaan dan sedang menunggu keputusan peperiksaan.

Selain itu ia juga bertujuan untuk mempromosi serta menyebarluaskan maklumat mengenai program pengajian sedia ada serta program baru yang ditawarkan oleh Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti, Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dan institusi lain bagi Sesi Akademik 2020/2021 dan ambilan bagi pembelajaran jarak jauh, pembelajaran secara separuh masa dan pembelajaran melalui kursus-kursus pendek.

Tambanya lagi program ini mampu memupuk kesedaran masyarakat mengenai institusi-institusi yang menawarkan program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) dengan kaedah pembelajaran yang berbeza daripada kaedah pendidikan yang formal.

Calon yang mempunyai pengalaman kerja, dan ingin melanjutkan pelajaran melalui program PSH juga akan diberi penerangan mengenai Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Malah program ini mampu mendidik dan memupuk kesedaran di kalangan pemohon dan masyarakat B40 mengenai pelaksanaan permohonan kemasukan ke UA, Politeknik, Kolej Komuniti & ILKA melalui UPUOnline (http://upu.moe.gov.my).

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut menyediakan mode kemasukan laluan khas ke IPTA bagi pelajar golongan B40, OKU, orang asli dan atlet sukan tanpa perlu bersaing dalam sistem meritokrasi.

 

Program Sentuhan Kasih ini juga merupakan siri jelajah UPU bagi kemasukan pelajar laluan khas  khusus untuk golongan B40 ke IPTA, dengan matlamat supaya pelajar golongan ini tidak terpinggir dan tidak ketinggalan dalam arus perdana untuk mendapat peluang pengajian pendidikan tinggi

Profesor Ir Dr. Noor Azuan turut menyeru agar semua pelajar merebut peluang keemasan hari ini untuk mendapat maklumat sebanyak mungkin daripada para pempamer dari seluruh negara serta terus mencari peluang dalam meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran.

Program yang mendapat sambutan lebih 1000 orang pelajar ini terdiri daripada pelajar tingkatan 5 & 6 sekolah di daerah Hulu Terengganu, Kemaman dan Kuala Nerus daripada kumpulan B40.

 

 

Dikeluarkan oleh:

Pusat Komunikasi Korporat,

Universiti Malaysia Terengganu (UMT)