UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

‘Dua Dekad Meneroka Samudera’ Imbau Sejarah Penubuhan UMT

‘Dua Dekad Meneroka Samudera’ Imbau Sejarah Penubuhan UMT

Thursday, 26/10/2023

Share This Article :

Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultanah Nur Zahirah yang juga Tuanku Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bersama Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini mencemar duli berangkat menyempurnakan Pelancaran Buku ‘UMT Dua Dekad Meneroka Samudera’.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar.

Baginda turut berkenan melawat Pameran Buku Sejarah UMT tersebut dalam Majlis Santapan Petang Sempena Majlis Konvokesyen UMT Kali Ke-21 di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam disini hari ini.

Membawakan tema ‘Dua Dekad Meneroka Samudera’, pameran ini diadakan bertujuan untuk memberikan pendedahan maklumat dan berkongsi sejarah asas penubuhan UMT yang bermula dengan penubuhan Stesen Perikanan dan Sains Samudera pada tahun 1979 sehingga tertubuhnya UMT pada 1 Februari 2007.

Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar yang juga pencetus kepada idea penulisan buku ini berkata pameran tersebut menceritakan secara ringkas berkenaan penulisan Buku Sejarah UMT yang mengandungi enam (6) bab utama meliputi lembaran sejarah awal penubuhan, perkembangan program pengajian, program penyelidikan, segmen pemindahan ilmu, alumni tersohor UMT dan kegemilangan serta keunikan universiti setelah 20 tahun berdiri gah menjadikan UMT sebagai sebuah universiti berdaya saing yang setanding dengan universiti awam terkemuka di Malaysia.

Tambahnya ‘UMT Dua Dekad Meneroka Samudera’ merupakan transformasi dokumentasi yang akan terus diperkaya catatan sejarah pendokumentasian bagi UMT sebagai salah sebuah  Universiti Awam di Malaysia.

Buku Sejarah UMT ini diterbitkan oleh Penerbit UMT dengan sokongan Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah (PSNZ), Pusat Alumni, Pejabat Komunikasi Korporat, Pusat Pengurusan Penyelidikan, Pejabat Naib Canselor dan Pejabat Pendaftar.

Turut dipamerkan plak perasmian Pusat Perikanan dan Sains Samudera yang telah disempurnakan oleh Almarhum Sultan Terengganu ketika itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Ibni Al-Marhum Ismail Nasiruddin Shah pada 18 Mac 1981.   

Dalam majlis yang sama, turut diadakan penyampaian zakat berjumlah RM2,020,586.41 kepada Tabung Zakat Pelajar UMT. Antara penyumbang zakat tersebut adalah Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Lembaga Tabung Haji, AmBank Islamic Berhad (AMBANK), Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Sumbangan zakat dari pelbagai agensi dan syarikat korporat ini dalam pelbagai bentuk seperti dana zakat, bantuan pendidikan dan juga geran projek. Semua ini bagi mendokong keperluan pendidikan dan pembangunan asnaf di UMT. Pada tahun ini jumlah dana tabung zakat telah meningkat sebanyak 84 peratus berbanding pada tahun 2022 dan keseluruhan dana zakat yang berjaya diterima adalah RM2,020,586.41

Menurut Mazlan, setiap tahun pelbagai usaha dilakukan oleh UMT dalam meningkatkan dana Tabung Zakat Pelajar bagi memastikan kesejahteraan kewangan pelajar UMT sentiasa dalam keadaan baik. Terutama pelajar asnaf yang sangat memerlukan sokongan serta dokongan.

Tambahnya sebanyak RM 1.3 juta dana zakat telah disalurkan kepada 2,318 orang pelajar UMT pada tahun ini. Jumlah tersebut merangkumi bantuan sara hidup, tajaan yuran pengajian, pemberian geran laptop dan bantuan kepada pelajar baharu sebagai pendahuluan memulakan pengajian.

Untuk rekod seramai 2,388 graduan UMT yang terdiri daripada 196 graduan pasca siswazah dan 2,192 graduan Pra Siswazah diraikan dengan penuh istiadat dan gilang gemilang dalam Majlis Konvokesyen UMT Kali Ke-21 yang berlangsung selama enam sesi bermula 22 hingga 24 Oktober 2023.

 

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu

21 Oktober 2023 (Sabtu)