Kuala Nerus- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bersama Sendai College buat julung kalinya berkolaborasi dalam menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk kemajuan institusi pengajaran dan pembelajaran di antara kedua-dua Institusi tersebut.

Kerjasama ini bermula apabila dua (2) pelajar UMT  dari jurusan Sarjana Muda Sains (Sains Kimia) iaitu Foong Shin Ying  dan Nur Zafirah binti Mohd Izham yang telah menjalani Latihan Industri (LI) di universiti berkenaan pada tahun 2017 yang masing-masing di bawah pengawasan Profesor Dr. Tomoaki Endo-Sensei dan Dr. Hanis Binti Mohd Yusoff.

Sepanjang latihan tersebut mereka turut didedahkan dengan kerja makmal, instrumen dan budaya kerja di institusi Jepun. Dr. Hanis melalui kajian doktornya di Tohoku Universiti, Sendai, Jepun turut mendapat bimbingan daripada Profesor Dr. Hiroshi Fukumura.

Profesor Dato` Dr. Nor Aieni binti Haji Mokhtar, Naib Canselor UMT dalam ucapannya berkata melalui kerjasama ini diharap pelbagai inisiatif dapat digerakkan dan memberi manfaat kepada pelajar. Antaranya penyelidikan bersama, pendedahan dan amalan terbaik serta penggunaan instrumen yang tiada di institusi masing-masing.

“Kolaborasi ini turut memberi tumpuan kepada kerjasama dalam bidang Pengantarabangsaan, Sains Marin dan Alam Sekitar iaitu kerjasama di antara Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) dan Sendai College”.

Menurutnya lagi Program Pertukaran Siswa atau Program Sekolah Musim Panas pelajar UMT ke Sendai College terutama bagi pelajar tahun akhir turut direncanakan dalam memberi pendedahan dan pengalaman baharu kepada para pelajar.

Disamping itu Profesor Dato` Dr. Nor Aieni Binti Haji Mokhtar berharap kerjasama ini diperluaskan lagi dalam bidang akademik lain dengan penglibatan Tohoku Universiti atau institusi berpotensi lain yang membawa kebaikan antara keduanya disamping tumpuan yang sama dalam memajukan bidang pendidikan.

Beliau turut mengharapkan perwakilan dan pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Asas (PPSA) serta pasukan Penyelidikan Mircroplastic (MIRG) melakukan perbincangan lanjut yang boleh membawa kepada kerjasama dan seterusnya mendapatkan geran antarabangsa atau nasional dalam masa terdekat.

Majlis menandatangani MoU ini menyaksikan Profesor Dato` Dr. Nor Aieni Binti Haji Mokhtar menandatangani dokumen perjanjian bagi pihak UMT manakala Pengerusi Sendai College, Professor Dr. Hiroshi Fukumura bagi pihak College tersebut.

Majlis yang diadakan pada 7 Februari 2019 betempat di UMT ini turut dihadiri oleh wakil-wakil daripada Sendai College sertai Pegawai-pegawai Utama Universiti.

 

 

Dikeluarkan oleh:

Pusat Komunikasi Korporat,

Universiti Malaysia Terengganu (UMT)