UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT LAHIRKAN USAHAWAN KELULUT DI SETIU

UMT LAHIRKAN USAHAWAN KELULUT DI SETIU

Tuesday, 02/08/2022

Share This Article :

Setiu, Terengganu 2 Ogos 2022 – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melebarluas kepakaran dengan meneruskan program pemindahan ilmu berimpak kepada komuniti di Kampung Pengkalan Gelap, Setiu melalui projek ternakan kelulut.

 

Projek telah bermula dengan penempatan sebanyak 15 sarang kelulut di plot Taman Kelulut Rumah Tokki melalui suntikan dana translasional UMT. Satu-satunya peserta perintis ialah YM Tengku Azam Tengku Mat atau lebih dikenali sebagai ‘Ayoh Ku’ telah berjaya mengeluarkan hasil sebanyak purata 500 gm madu kelulut setiap sarang untuk setiap bulan. Madu kelulut dijual kepada pelawat dari dalam dan luar negara yang datang ke tanah bencah Setiu dan singgah ke Taman Kelulut Rumoh Tokki.

 

Kejayaan terus dilakar apabila Kumpulan Penyelidik Lebah UMT diketuai oleh Prof. Dr. Shamsul Bahri Abd Razak berjaya menarik libatsama syarikat GLC tempatan iaitu Pharmaniaga Bhd, selain mendapat suntikan dana inovasi sosial di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

 

Kini, projek kelulut ini telah berkembang dengan penambahan 50 sarang kelulut dan telah menarik minat 20 buah keluarga di sekitar Kg. Pengkalan Gelap untuk turut serta dalam mengusahakan ternakan kelulut.

 

Tambah Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar, selain penjanaan pendapatan kepada komuniti, Projek Kelulut ini amat penting untuk memberikan kesedaran berkaitan kelestarian alam sekitar kepada komuniti setempat. Ekosistem tanah bencah Setiu yang kaya dengan kepelbagaian flora seperti pokok gelam, nipah dan bakau merupakan habitat yang unik dan semulajadi serta memberi sumber makanan kepada kelulut yang perlu dipelihara.

 

Baru-baru ini juga, pihak UMT menjunjung kasih atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Terengganu bagi UMT melantik Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja sebagai Duta Konservasi Alam Sekitar UMT.

 

“Dengan penglibatan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja akan turut menggalakkan penglibatan masyarakat umum terutamanya belia dalam memulihara warisan dan kepelbagaian alam sekitar”.

 

Terdahulu, Kumpulan Penyelidik Lebah dan Kelulut UMT telah berjaya membantu kumpulan sasar terdiri daripada ibu tunggal, asnaf, pelajar serta petani meliputi kawasan di daerah Besut, Kuala Nerus dan Marang, Terengganu di bawah Program Kelulutpreneur.

 

Kehadiran YAM Tengku Puteri Utama Raja ke Setiu turut menyaksikan demonstrasi sedut madu oleh pengusaha kelulut, demonstrasi penghasilan makanan tradisi, demonstrasi penghasilan produk hiliran madu kelulut serta demonstrasi penghasilan produk kraftangan tradisi (tikar kercut, tikar pandan, bakul lidi) oleh komuniti.

 

 

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu