UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Program PENJANA KPT-CAP buka peluang graduan ditawarkan pekerjaan

Program PENJANA KPT-CAP buka peluang graduan ditawarkan pekerjaan

Sunday, 20/08/2023

Share This Article :

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan PKT Logistics Group Sdn Bhd memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dalam meningkatkan kerjasama di antara institusi akademik dan industri ke tahap yang lebih strategik. MoU itu dimeterai oleh Naib Canselor UMT, Profesor Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar dan Ketua Eksekutif Kumpulan merangkap Pengarah Urusan PKT Logistics Group Sdn Bhd, Dato’ Seri (Dr.) Michael Tio bertempat di Langkawi pada 25hb Mei 2023 bersempena dengan penganjuran LIMA 2023.

 

Kerjasama itu melibatkan pelbagai bidang termasuk latihan kepada pelajar dan staf, penyelidikan, akademik, pemindahan ilmu dan perkongsian pengalaman yang dianggarkan bernilai lebih RM700,000.00.

 

Pelaksanaan Program PENJANA KPT-CAP “Smart Logistician” 2023 itu mendapat sokongan daripada  Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kos berjumlah RM460,000.00 melibatkan 100 pelajar Program Sarjana Muda Pengurusan (Maritim) dan juga sebilangan pelajar daripada program pengajian lain di UMT seperti Sarjana Muda Pengurusan (Pemasaran), Sarjana Muda Sains Informatik Maritim, Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Perisian, dan Sarjana Muda Sains Teknologi Maritim.

 

Turut terlibat dalam menjayakan program itu adalah Industri Centre of Excellence (Kluster Maritim) di bawah Pusat Pemindahan Ilmu dan Jaringan Industri dan juga Pusat Keusahawanan dan Kerjaya, UMT.

 

Objektif program itu adalah sebagai platform bagi meningkatkan nilai tambah kepada peserta dalam memperkukuhkan kemahiran melalui pembelajaran secara hand’s on  dan juga work-based learning (WBL). Di samping itu, program PENJANA KPT-CAP “Smart Logistician” 2023 itu sebagai peluang keemasan untuk direbut peserta sebelum ditawarkan pekerjaan kepada peserta yang layak.

 

Program bersifat serampang dua mata itu dibangunkan khas dengan merangkumkan lima modul latihan seperti asas logistik dan pengangkutan, operasi pergudangan, keselamatan, kesihatan, pengangkutan fret yang dijalankan selama 15 hari bertempat di The Ship Campus, Pulau Pinang bermula 1 Ogos yang lalui. 1 module khas iaitu “Fundamental of IoT in Production” juga telah dilaksanakan dengan sumbangan industri sebanyak RM90,000 dari PKT Logistics Group Sdn Bhd bagi memberi pendedahan berkaitan penggunaan teknologi Internet of Things (IoT) bagi skop operasi pembuatan.

 

 

PKT Logistics Group Sdn Bhd juga menawarkan anugerah pelajar yang berbentuk wang tunai di mana tiga pelajar UMT akan dianugerahkan PKT Excellence Award bernilai RM5000 setiap seorang, setiap tahun. Pelajar yang akan memenangi anugerah ini juga bakal ditawarkan bekerja di PKT Logistics Group Sdn Bhd. Anugerah ini melibatkan program akademik di bawah Fakulti Pengajian Maritim, UMT.

 

PKT Logistics Group Sdn Bhd juga telah menawarkan fasiliti bagi penganjuran program pelajar di the Ship Campus yang melibatkan penggunaan fasiliti moden, termasuk asrama, dewan kuliah, perpustakaan dan lain-lain lagi.

 

Dengan kepakaran yang dimiliki oleh UMT dalam bidang perkapalan dan operasi logistik, para penyelidik UMT berpeluang untuk menjalankan penyelidikan berkaitan usaha untuk meningkatkan tahap kecekapan serta tadbir urus bagi membantu syarikat-syarikat logistik di Malaysia.

 

Pemeteraian perjanjian itu bakal merealisasikan impian negara sebagai hub logistik utama di ASEAN hasil kajian dan penyelidikan strategik yang akan dijalankan penyelidik UMT. Kajian itu juga melibatkan pemain-pemain industri Malaysia, disokong oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

 

Disediakan oleh :

 

Prof. Madya Ts. Dr. Nurul Haqimin Mohd Salleh

Penyelaras,

Pusat Kecemerlngan Industri (ICOE)

Kluster Maritim,

Universiti Malaysia Terengganu.

Tel : 017-721 0282

 

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu