UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT IPT pantai timur pertama miliki Pusat Dagangan dalam kampus

UMT IPT pantai timur pertama miliki Pusat Dagangan dalam kampus

Thursday, 17/03/2022

Share This Article :

Kuala Nerus, 17 Mac 2022 – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bakal menjadi kampus pertama memiliki pusat dagangan sendiri di Pantai Timur.

Usaha mewujudkan ‘Trading Centre’ dalam kampus itu direalisasikan melalui majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara UMT dengan CGS-CIMB Securities Sdn Bhd yang diadakan di Kampus UMT, hari ini.

Majlis itu menyaksikan Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) mewakili Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar bagi acara menandatangani dokumen perjanjian manakala CGS-CIMB Securities Sdn. Bhd diwakili oleh Ruzi Rani Ajith, selaku Ketua Pegawai Eksekutif.

Pusat dagangan yang dinamakan sebagai UMT-CGS-CIMB East Coast Trading Centre merupakan inisiatif universiti itu dalam usaha memperkasakan serta mendedahkan para pelajar berkaitan dunia perdagangan yang sebenar.

Pusat yang berkeluasan kira-kira 1,800 kaki persegi itu dilengkapi dengan teknologi terkini mampu menempatkan 80 orang. Ia juga dilengkapi dengan 12 terminal komputer yang mengandungi platform simulasi CGS-CIMB iTrade, dan delayed price feed.

Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Prof. Dr. Zamri berkata penubuhan pusat dagangan itu memberi impak besar kepada pembangunan pelajar.

“Trading Centre ini akan mendedahkan para pelajar kepada sistem, peraturan dan urus niaga yang dijalankan di pasaran modal, justeru memberi mereka pengalaman yang lebih hampir kepada situasi sebenar dalam pasaran modal.

“Ia bakal memanfaatkan kepada 3,076 pelajar prasiswazah dan 493 pelajar pascasiswazah di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, khususnya bagi program Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam), Sarjana Muda Perakaunan, Sarjana Muda Pengurusan Pemasaran, Sarjana Ekonomi, dan Master of Business Administration.

Katanya, UMT juga bakal menawarkan program pengajian baharu dan penubuhan pusat dagangan itu selari dengan perkembangan positif universiti yang termasyhur di Pantai Timur.

“Kita akan mula tawarkan program Sarjana Muda Kewangan menjelang 2023 dan program itu diselaraskan dibawah Fakulti Perniagaan, Ekonomi, dan Pembangunan Sosial. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Malaysian Financial Planning Council (MFPC) yang membolehkan pengecualian Modul Registered Financial Planner 1 hingga 6. 

Tambah beliau, penubuhan UMT-CGS-CIMB East Coast Trading Centre turut menyumbang kepada komuniti setempat.

“Saya juga akan pastikan penubuhan ‘Trading Centre’ ini turut memberi manfaat kepada komuniti sekitar kampus dan warga staf UMT terutamanya dari aspek pendidikan pelaburan.” Katanya.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu