UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

BERLARI SAMBIL MENDERMA

BERLARI SAMBIL MENDERMA

Saturday, 19/10/2019

Share This Article :

KUALA NERUS – Kira-kira 241 peserta larian amal menyatakan sokongan terhadap kempen bagi membantu masyarakat di Gaza sempena penganjuran program Trail Run 4 Humanity@Bukit Maras 2019 dengan kerjasama daripada MyCARE Malaysia.

Konsep penganjuran larian dipilih sebagai medium perantara untuk masyarakat berkumpul bersama-sama setelah melihat larian amal menjadi trend masyarakat masakini yang mementingkan kesihatan selain beramal untuk membantu golongan memerlukan.

Ketua Pusat Islam Sultan Mahmud UMT, Dr. Riswadi Azmi berkata program larian itu bertujuan untuk mengumpul dana bagi menyalurkan bantuan kepada umat islam di bumi Gaza.

”Alhamdulillah, buat pertama kalinya Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), UMT bersama-sama Mycare Malaysia Berhad dengan kerjasama Bukit Maras Recreational Park menganjurkan program Trail Run 4 Humanity @ Bukit Maras. Sambutan sangat baik diterima oleh masyarakat yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur termasuk kanak-kanak.

“Kita juga mengambil peluang dengan menganjurkan program larian ini bersempena sambutan Bulan Sukan Negara yang disambut pada bulan Oktober sebagai salah satu usaha menggalakkan pembudayaan bersukan dalam masyarakat. PISM telah cuba mengubah tradisi pendekatan dakwah yang dahulunya dilihat penyampaian mesej kebaikan melalui syarahan agama sahaja, kini telah kita terapkan mengikut trend dan perubahan semasa supaya usaha dakwah kekal relevan sepanjang zaman”. Katanya.

Sementara itu, Mohd Faisal Said dinobatkan juara bagi kategori Terbuka Lelaki dengan catatan masa 33 minit dan Fazilawati Jaafar diumumkan juara bagi kategori Terbuka Wanita dengan catatan masa 45 minit. Kedua-dua pemenang telah berjaya melepasi trek berbukit setinggi lebih 300 meter dari aras laut dan sejauh 5 kilometer secara keseluruhan.

Yuran penyertaan bagi program terbabit turut diserahkan kepada wakil MyCARE Malaysia selaku badan NGO yang bergerak aktif membantu penduduk Palestin.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu