Kuala Nerus, 8 Dis 2018- Buat julung kalinya Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menganjurkan Monsoon Beach Challenge 2018 bertujuan mengeratkan semangat perpaduan dan kesukanan dalam kalangan penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPTA) dan komuniti sekitar.

Ternyata ketibaan musim tengkujuh yang mula melanda negeri Terengganu tidak menghalang mereka untuk beraksi dengan baik sepanjang kejohanan.

Menurut Profesor Ts. Dr Che Mohd Ruzaidi Ghazali, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), penganjuran program oleh Pusat Sukan dan Rekreasi (PSR), UMT ini telah berjaya menarik hampir 300 orang peserta dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada lima IPTA sekitar Terengganu.

Antara IPTA yang mengambil bahagian adalah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), Universiti Teknologi Mara (UiTM Chendering), Universiti Teknologi Mara (UiTM Dungun) dan Politeknik Kota, Kuala Terengganu serta komuniti sekitar UMT.

Kejohanan ini turut diadakan bersempena lawatan rasmi dan Penyampaian Watikah Pelantikan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) 2018/2019 oleh Yang Berbahagia Datin Paduka Ir. Dr.  Siti Hamisah binti Tapsir, Ketua Pengarah, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Terdapat tiga acara sukan yang dipertandingkan iaitu Bola Jaring Pantai (Lelaki dan Wanita), Kayak (Lelaki dan Wanita) serta Bola Tampar Pantai campuran.

Pasukan bola tampar lelaki telah dimenangi oleh pasukan tuan rumah manakala pasukan bola jaring lelaki dan wanita dijuarai oleh pasukan Hanelang serta pasukan Slumber masing-masing penyertaan daripada komuniti luar.

Manakala acara kayak pula didominasi oleh pasukan kayak UniSZA dengan memenangi kedua-dua kategori lelaki dan wanita. Pasukan tuan rumah pula memperolehi tempat ke dua dan ke tiga bagi kedua-dua kategori tersebut.

Turut hadir menyaksikan perlawanan akhir kejohanan tersebut adalah YBhg. Profesor Dr. Arham bin Abdullah, Pengarah Bahagian Hubungan Industri, Jabatan Pengajian Tinggi dan Dr. Zaid bin Omar, Pengarah Bahagian Pembangunan Mahasiswa. Diiringi oleh Profesor Dato’ Dr. Nor Aeini binti Hj. Mokhtar, Naib Canselor UMT serta Pegawai-pegawai Utama UMT. Mereka turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Johan setiap kategori membawa pulang wang tunai sebanyak RM200, naib johan RM150, dan tempat ketiga menerima wang tunai RM100.

Profesor Ts. Dr Che Mohd Ruzaidi Ghazali turut berkata sukan ini akan dijadikan acara tahunan UMT pada tahun akan datang dengan mempelbagaikan acara yang dipertandingkan dan menjanjikan penganjuran tahun hadapan akan lebih meriah dan terbuka.

 

Untuk keterangan lanjut:

Puan Siti Noriam Yaakob

Pegawai Belia dan Sukan (Kanan),

Pusat Sukan dan Rekreasi

Universiti Malaysia Terengganu

Tel: 09-6684570

Emel: noriam@umt.edu.my

 

 

Dikeluarkan Oleh:

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu