UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

MUSHAF AL-QUR’AN TERENGGANU DIISYTIHAR SEBAGAI WARISAN DI BAWAH AKTA WARISAN KEBANGSAAN

MUSHAF AL-QUR’AN TERENGGANU DIISYTIHAR SEBAGAI WARISAN DI BAWAH AKTA WARISAN KEBANGSAAN

Sunday, 11/12/2021

Share This Article :

KUALA NERUS, 10 Disember– Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultanah Nur Zahirah hari ini berkenan menyempurnakan perisytiharan Mushaf Al-Qur’an Terengganu dalam Majlis Santapan Petang Sempena Majlis Konvokesyen UMT Ke-20.
 
Pada majlis perisytiharan itu, empat Mushaf al-Quran Terengganu koleksi Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) telah berjaya diwartakan sebagai warisan di bawah akta Warisan Kebangsaan 2005 (akta 645). 
 
Pada majlis yang sama, KDYMM Sultan dan KDYMM Sultanah turut berkenan melawat pameran Kesucian dan Keindahan Mushaf al-Quran Diraja Terengganu. Pameran ini memaparkan secara terperinci keunikan yang ada pada mushaf-al-Qur’an Terengganu meliputi diaspora, kaligrafi, motif, material dan penjilidan sehingga ianya diterima untuk diwartakan sebagai warisan negara.
 
Menurut Naib Canselor UMT Profesor Dato` Dr. Mazlan bin Abd Ghaffar, Usaha pewartaan ini telah mula digerakkan pada tahun 2020 oleh penyelidik UMT yang diketuai oleh Dr. Riswadi bin Azmi, Pengarah Pusat Islam Sultan Mahmud.
 
Tambahnya pengetahuan umum mengenai keunikan warisan kesultanan Terengganu ini perlu dihebahkan kepada masyarakat.  Pewartaan sebagai warisan ini juga bertujuan agar usaha pemuliharan dapat dilakukan oleh pihak-pihak berkaitan demi kelestarian warisan budaya negara. 
 
 
Untuk rekod, kajian UMT telah merekodkan 45 manuskrip ini berada dalam dan luar negara. Jumlahnya yang banyak melebihi daripada apa yang dijangkakan, kerana untuk menghasilkan satu-satu manuskrip tulisan tangan pada abad ke 19 ini memerlukan tuntutan masa, tenaga dan kos yang tinggi. Ini sekaligus membuktikan negeri Terengganu pernah menjadi pusat penyalinan mushaf al-Qur’an yang paling terkemuka dan terkenal di Asia Tenggara.
 
UMT dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) telah melakukan pelbagai inisiatif demi memastikan warisan ini sentiasa dihargai dan dipelihara. Selain itu, demi memastikan warisan suci ini dihargai diperingkat global, cadangan UMT telah diterima sebagai senarai akhir negara oleh Jabatan Warisan Negara untuk mencalonkannya dalam daftar Peringatan Dunia UNESCO. Pelbagai usaha akan dilakukan agar percalonan diterima diperingkat UNESCO.
 
Selain daripada itu UMT turut menjalin kerjasama dengan penyelidik dari pelbagai agensi dalam dan luar negara terutamanya daripada Dato Dr Annabel Teh Gallop, Ketua Kurator Seksyen Asia Tenggara, British Library dalam konservasi manuskrip al-Quran Terenganu.
 
Tambahnya lagi, usaha ini turut disokong oleh Syarikat terkemuka dunia Ericsson (Malaysia) Sdn Bhd bagi membangunkan Galeri Digital Warisan Budaya. Sehubungan itu, UMT telah berjaya mendigitalkan 6 Manuskrip Al-Quran Terengganu yang disimpan oleh pihak muzium menggunakan teknologi realiti terimbuh (Augmented Reality) dan menempatkannya di dalam Galeri Digital Warisan Budaya UMT. 
 
“Dengan adanya galeri ini, ianya bakal menjadi tumpuan penyelidik dan pelajar untuk mengkaji keunikan Manuskrip al-Quran Emas, warisan Kesultanan Terengganu yang diiktiraf paling cantik di Asia Tenggara. Inisiatif ini telah memartabatkan mushaf al-Quran ke peringkat antarabangsa”.
 
Turut hadir dalam Majlis Santapan Petang Sempena Majlis Konvokesyen UMT Ke-20 petang  ini ialah Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar, Menteri Besar Terengganu, Yang Berhormat Dato’ Haji Yahaya bin Ali, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Yang Berhormat Mulia Tengku Seri Bijaya Raja, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Ahli-ahli Lembaga Pengarah Universiti dan Naib-Naib Canselor serta wakil Universiti Awam Malaysia.
 
Dikeluarkan oleh:
 
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu