UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT kongsi rezeki sempena Ramadan

UMT kongsi rezeki sempena Ramadan

Thursday, 4/4/2024

Share This Article :

Masyarakat muslim sering menantikan kehadiran bulan Ramadan saban tahun. Bulan yang penuh  keistimewaan itu ditunggu-tunggu kebanyakan umat islam untuk merebut sebanyak mungkin pahala serta ganjaran kebaikan yang telah dijanjikan Allah SWT.

 

Antara amalan yang menjadi keutamaan adalah sedekah di bulan Ramadan. Amalan ini tidak hanya tertumpu kepada wang semata-mata bahkan meliputi banyak aspek lain seperti memberi makanan percuma kepada orang yang berpuasa untuk berbuka.

 

Ganjaran pahala bagi mereka yang memberi orang berbuka puasa adalah sangat besar iaitu menyamai pahala orang diberi makan tersebut walaupun hanya dengan sebiji kurma sahaja. Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya:

“Siapa yang memberi makan (saat berbuka) untuk orang yang puasa, maka dia mendapat pahala seperti pahala orang yang diberi makannya itu tanpa dikurangi sedikitpun dari pahalanya. (Hadis Riwayat At-Tirmizy, An-Nasai, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan Ibnu Khuzaemah).

 

Keadaan ekonomi semasa menuntut golongan berkemampuan untuk bersama-sama membantu kumpulan yang memerlukan khususnya fakir miskin bagi menikmati dan menghayati Ihya Ramadan serta menyambut Aidilfitri dengan perasaan gembira.

 

Rata-rata agensi korporat dan ahli perniagaan tidak melepaskan peluang keemasan ini. Terdapat juga antaranya membelanjakan buffet ramadan khas buat anak-anak yatim di hotel-hotel mewah dan juga restoran terkemuka hanya untuk mendapatkan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda yang tiada pada bulan selain Ramadan.

 

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui pejabat Hal Ehwal pelajar dan Alumni (HEPA) juga mengambil peluang Ramadan untuk menggandakan pahala dengan menyantuni komuniti setempat melalui program pengagihan Bakul Rahmah dan bubur lambuk.

 

Timbalan Naib Canselor HEPA UMT, Prof. Dr. Mohd Izani Mohd Zain berkata penganjuran program itu sebagai inisiatif yang boleh dilakukan oleh warga kerja jabatan HEPA dalam membantu komuniti setempat yang memerlukan melalui aktiviti yang dilakukan secara bersama-sama dengan tema “Mendekatkan yang jauh dan mengakrabkan yang dekat”.

 

“Penganjuran Program Ihya Ramadan bagi tahun ini merupakan satu program yang dilaksanakan merapatkan hubungan silaturahim serta keutuhan semangat berpasukan dalam kalangan warga HEPA dengan penganjuran aktiviti berunsur kebersamaan dan kerohanian selain merebut ganjaran pahala dan keberkatan di bulan Ramadan.

 

“Sebanyak tiga kawah bubur lambuk berjaya dihasilkan menerusi program Jom Kucar Bubur lambuk bersama semua warga HEPA.

 

Selain itu, menurutnya, pihaknya juga telah menyantuni komuniti angkat dan anak-anak yatim bagi menyerahkan sumbangan Bakul Rahmah.

 

“Alhamdulillah, kita juga telah menyerahkan sumbangan berbentuk Bakul Rahmah kepada beberapa keluarga yang berdekatan dengan UMT iaitu keluarga angkat yang merupakan warga tua dan juga anak-anak yatim.

 

“Sebanyak 300 bekas bubur lambuk berjaya diagihkan kepada warga kampus dan penerima bakul rahmah dan selebihnya kepada komuniti setempat”. Katanya.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu