UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

KELESTARIAN AMALAN BERAGAMA ORANG ISLAM DI ERA PANDEMIK COVID-19

KELESTARIAN AMALAN BERAGAMA ORANG ISLAM DI ERA PANDEMIK COVID-19

Wednesday, 14/07/2021

Share This Article :

Amalan keagamaan orang Islam di seluruh dunia sememangnya terkesan dengan kehadiran pandemik COVID-19 sejak tahun lepas.

Antara amalan yang paling terkesan adalah solat Fardhu Jumaat. Ini kerana kefardhuan solat tersebut telah digantikan dengan solat Zohor.

Antara syarat sah solat Jumaat adalah mendengar dua khutbah sebelum solat dua rakaat dikerjakan secara berjemaah.

Solat Jumaat itu hukumnya Fardu Ain, iaitu wajib dikerjakan oleh semua lelaki Muslim dengan syarat-syarat tertentu.

Meninggalkannya dengan sengaja adalah perbuatan yang ditegah. Mereka yang meringan-ringankan hukum Allah ini akan mengundang kemurkaanNya.

Namun dalam keadaan pandemik ini, bilamana nyawa lebih penting, hukum ini dilonggarkan dan diamalkan sesuai dengan keadaan genting ketika ini.

Amalan beragama yang terkesan

Banyak lagi amalan-amalan keagamaan orang Islam yang terkesan seperti amalan bersalam, amalan berziarah samaada kerumah rakan taulan atau ziarah orang sakit.

Amalan lainnya seperti mengadakan sambutan kenduri kendara aqiqah, perkahwinan, meraikan tetamu dan upacara kematian turut terkesan.

Di bulan Ramadhan yang baru saja berlalu, amalan keagamaan seperti solat tarawikh juga terkena tempiasnya.  

Solat sunat yang diamalkan setahun sekali ini tidak lagi dapat dibuat seperti kebiasaannya. Semuanya perlu mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.

Amalan mulia semasa bulan Ramadhan seperti Tadarus Al-Quran juga tidak dapat diadakan mengikut kebiasaan.

Sama juga dengan memberi makan orang berpuasa. Banyak organisasi terpaksa menukar strategi untuk memastikan amalan ini tetap dijalankan walaupun dalam keadaan yang terbatas.

Solat Sunat Hari Raya samaada Aidil Fitri atau Aidil Adha tidak lagi seperti yang diamalkan selama ini.

Amalan ziarah menziarahi ketika musim perayaan juga tidak dapat dilakukan seperti kebiasaannya. Aidil Fitri tahun 2020 dan tahun 2021 disambut dengan norma baharu.

Aidil Adha tiba lagi

Dengan Aidil Adha yang bakal tiba tidak berapa lama lagi, amalan korban turut menerima kesan terhadap kehadiran pandemik ini.

Amalan keagamaan ini sejak tahun lepas, iaitu pada tahun 2020, perlu mengikut SOP yang dibenarkan dan mengamalkan semua saranan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mengelakkan jangkitan COVID-19.

Selain amalan korban, amalan mengerjakan haji dan umrah juga tidak dapat dilakukan seperti kebiasaan. Amalan Haji pada tahun 2020 terpaksa di tangguhkan kerana melakukan amalan ini membahayakan nyawa penganut agama Islam.

Manakala amalan haji pada tahun ini, iaitu 2021, Kerajaan Malaysia tidak akan menghantar jemaah haji bagi Musim Haji 1442H.

Ini kerana keputusan Kerajaan Arab Saudi yang menghadkan ibadah haji bagi Musim Haji 1442H untuk warganegara Saudi dan penduduk negara lain yang bermastautin didalam negara tersebut sahaja disebabkan situasi semasa pandemik Covid-19 yang masih membimbangkan di seluruh dunia.

 

Norma baru era pandemik

Amalan korban semasa sambutan Aidil adha biasanya diadakan secara berjemaah bersama orang kampung atau masyarakat sekitar.

Kemeriahan berkumpul beramai-ramai untuk menjayakan acara korban ini memang dinanti-nantikan.

Acara ini diadakan selama 3 hari berturut-turut. Untuk orang yang kurang berada dan tidak mampu membeli daging, inilah masanya untuk mendapatkan daging segar, hasilan tempatan.

Jemputan kenduri aqiqah juga meriah sepanjang 3 hari tersebut. Kemeriahan korban terasa dengan takbir yang bersahut-sahutan selama 3 hari tersebut.

Sayangnya, dalam keadaan pandemik ketika ini, semua ini hanya menjadi sebutan sahaja.

Norma baru perlu diamalkan demi menjaga nyawa dan kemaslahatan ummat. Ibadat korban diadakan sesuai dengan SOP yang ditetapkan.

Hanya orang yang terlibat seperti wakil keluarga, tukang sembelih dan tukang lapah sahaja dibenarkan berada di lapangan.

Begitu juga dengan amalan mengerjakan haji. Kemeriahan musim haji masih terbayang-bayang.

Setiap kali musim haji, penuhlah lapangan terbang dengan kereta-kereta yang datang menghantar dan mengambil Jemaah haji.

Televisyen pula bersiaran 24 jam melaporkan secara langsung musim haji dari Makkah Al-Mukarramah.

Bumi Makkah penuh dengan manusia yang datang dari seluruh dunia. Bermacam ragam dan pengalaman ditimba dan diceritakan.

Setiap waktu dan ketika, Baitulharam dikunjungi ramai tetamu Allah yang mencari keredhaannya. Kemeriahan musim haji dirindui kini.

Untuk dua tahun ini, bumi Makkah Al-Mukarramah sunyi dari pengunjung. Sepilah Baitulharam dari himpitan manusia.

Televisyen hanya menayangkan suara syahdu Imam besar mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran.

Musim haji 1441 dan 1442 tidak lagi semeriah dulu. Ketibaan pandemik COVID-19 membataskan amalan haji ini. Hanya tetamu Allah yang benar-benar terpilih menyahut panggilan haji.

Kelestarian amalan beragama orang Islam

Apa yang dirisaukan jika amalan keagamaan ini menjadi sesuatu yang canggung kepada generasi muda terutamanya anak-anak kecil yang membesar dalam era pandemik ini.

Mereka mungkin tidak terbiasa dengan amalan-amalan keagamaan ini jika tidak diceritakan atau dimaklumkan tentang kepentingannya kepada sebagai Muslim.

Contoh paling mudah adalah amalan bersalam. Mereka mungkin akan memandang jijik kepada perbuatan ini kerana mereka dibesarkan agar tidak bersentuhan dengan orang lain.

Maka, penting untuk memastikan kelestarian amalan beragama dipertahankan dengan kaedah penceritaan dari mulut ke mulut atau menggunakan kekuatan media sosial ketika ini.

Amalan-amalan keagamaan ini perlu diulang tayang agar lekat dikepala anak-anak kecil yang membesar dalam era pandemik ini.

Untuk menjamin kelestarian amalan-amalan keagamaan ini, mungkin bolehlah direkodkan, diceritakan dan ditekankan supaya ianya menjadi peringatan dan tontonan anak-anak ini.

Perkara ini penting ditekankan agar jati diri mereka sebagai Muslim dan mukmin kekal, dan amalan beragama dapat dilestarikan mengikut anjuran Islam.

 

Disediakan oleh :

 

Dr. Isma Rosila Ismail

Pensyarah

Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan

Universiti Malaysia Terengganu

 

Dikeluarkan oleh :

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu