UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

‘Pantai kita, Wajah kita’ TEMA BEACH CLEAN UP 2020

'Pantai kita, Wajah kita' TEMA BEACH CLEAN UP 2020

Sunday, 20/09/2020

Share This Article :

Hampir 250 orang peserta yang terdiri daripada agensi-agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), pelajar universiti dan komuniti sekitar dalam melaksanakan kerja pembersihan pantai di Dapo Pata Kontena, Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus Terengganu. Walaupun pandemik Covid-19 masih lagi menyerang Negara, namun komitmen kumpulan itu ternyata tidak pudar demi menyebarkan mesej sayangi alam sekitar.

Dengan mengangkat tema ‘Pantai kita, Wajah kita’, program itu diadakan bersempena dengan sambutan World Oceans Day 2020. Objektif utama penganjuran program itu bagi mewujudkan persekitaran pantai yang bersih serta meningkatkan kesedaran masyarakat akan impak pencemaran plastik sekali guna terhadap persekitaran marin.

Antara keunikan sambutan program pada kali ini adalah peserta diwajibkan untuk membawa bekas makanan dan minuman masing-masing yang diperbuat daripada bahan berasaskan kertas atau terbiodegradasi dan tidak dibenarkan menggunakan bekas makanan yang diperbuat daripada plastik. 

Menerusi program tersebut sebanyak 542.5 kilogram (kg) sampah telah berjaya dikutip sepanjang 1 km pesisir pantai dalam tempoh kurang daripada satu jam. Antara bahan buangan yang dikutip adalah pelitup muka, botol plastik, pembalut makanan, kertas, kaca dan lain-lain.

Sisa buangan daripada aktiviti manusia di persisiran pantai adalah antara faktor utama yang membawa kepada pencemaran laut. Jika tidak diuruskan dengan baik, sisa buangan itu akan hanyut ke laut dan memberi impak yang berbahaya kepada hidupan laut serta mengancam kesihatan manusia.

Program pembersihan pantai yang diterajui oleh barisan penyelidik Ocean Pollution and Ecotoxicology (OPEC) Research Interest Group, Universiti Malaysia Terengganu itu dilihat sebagai inisiatif untuk mewujudkan kesedaran semua peserta tentang peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam mengekalkan kebersihan pantai dan tidak hanya diletakkan pada tanggungjawab pihak berwajib sahaja. Penglibatan yang baik daripada rakan kerjasama, pengunjung Pantai Tok Jembal dan komuniti setempat juga dilihat sebagai satu kejayaan dalam mencapai matlamat program tersebut.

Selain itu, penjagaan kebersihan pantai juga dilihat sebagai usaha dalam mencapai Matlamat Pembangunan Kelestarian yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang merangkumi pembangunan ekonomi bagi meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat berlandaskan keseimbangan penggunaan sumber dan pemuliharaan alam sekitar. Program tersebut diyakini mampu menjamin kelestarian lautan dengan memfokuskan tentang kesejahteraan hidupan di lautan dengan mensasarkan kepada kemampanan pengurusan marin dan ekosistem pesisir pantai.

Penganjuran itu telah berjaya mendapat perhatian daripada beberapa agensi serta NGO seperti Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dengan kerjasama Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM), Trash Hero Batu Buruk, Universiti Utara Malaysia (Kampus Kuala Lumpur) dan Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO dan dirasmikan oleh Yang Berhormat Puan Zuraida Md Noor, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu.

 

Untuk keterangan lanjut :

 

Dr. Izyan Munirah Binti Mohd Zaideen
Pensyarah Kanan
Fakulti Pengajian Maritim
Universiti Malaysia Terengganu

Tel : 012-9627525

 

 

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pusat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu