UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (HEPA) UMT

Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (HEPA) UMT

Tuesday, 21/02/2021

Share This Article :

Kuala Nerus – Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), yang baharu berkuat kuasa 19 Februari 2023, menggantikan Prof. Madya Dr. Hafiz Zakariya yang telah tamat tempoh pelantikan pada 30 November 2022 lalu.

Dr. Mohd Izani Mohd Zain merupakan anak kelahiran Pengkalan Chepa, Kelantan mempunyai kepakaran dalam bidang politik dan pembentukan kerajaan serta politik islam dan demokrasi.

Pengalaman yang dimiliki beliau dalam bidang kewartawanan dan penulisan ketika berkhidmat di syarikat penerbitan, percetakan dan pengedaran bahan penulisan bercetak terbesar berpangkalan di Shah Alam menyerlahkan lagi potensi dirinya untuk maju ke hadapan dan seterusnya mendapat perhatian Menteri Pengajian Tinggi ketika itu iaitu YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin untuk dilantik sebagai Setiausaha Akhbar pada tahun 2009 sehingga 2013.

Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Koordinator di Akademi Kepimpinan Tinggi (AKEPT) serta Ahli Penggubal Pelan Induk Johor sebagai Tamadun Global Melayu.

Sebagai seorang ahli akademia, beliau juga aktif dalam penerbitan jurnal seperti Islam and Democracy: The Challenges of Contemporary Muslim Politics in Malaysia , Democracy and the Islamic World: A Theoretical and Practical Perspective, Democracy and Sustainability of Muslim Politics, Transforming the Leadership of Higher Education Institutions (IPT) in Malaysia dan Accelerating Transformation and Prosperous Malaysia disamping sebagai penyunting buku-buku berkaitan ucapan Menteri Besar Johor seperti Johor Berkemajuan, Mensejahterakan Rakyat, Membongkar Potensi dan Bakat dan Pengislahan UMNO.

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata, pihaknya percaya dengan pelantikan itu akan terus menyerlahkan lagi kualiti dan kecemerlangan pengurusan pelajar selari dengan hasratnya untuk memperkasakan mahasiswa semasa dalam Majlis Amanat Naib Canselor UMT 2023 yang berlangsung di kampus UMT baru-baru ini.

“Sekalung tahniah dan syabas. Selamat datang ke UMT dan menjadi sebahagian daripada warga UMT cemerlang.

“Saya percaya, dengan pelantikan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni yang baharu serta mempunyai pengalaman yang luas, dapat memastikan fokus dan inisiatif untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan UMT meningkat terutamanya dari segi job creator. Oleh itu, Inisiatif 2023 akan diperkasakan dengan mewujudkan ekosistem Keusahawanan yang menyokong Pelan Tindakan Keusahawanan KPT 2021-2025”. Katanya.