UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT TERIMA SUMBANGAN ZAKAT RM1.3 JUTA UNTUK MANAFAAT ASNAF PELAJAR

UMT TERIMA SUMBANGAN ZAKAT RM1.3 JUTA UNTUK MANAFAAT ASNAF PELAJAR

Monday, 31/01/2022

Share This Article :

UMT TERIMA SUMBANGAN ZAKAT RM1.3 JUTA UNTUK MANAFAAT ASNAF PELAJAR

Kuala Nerus – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berbesar hati menerima sumbangan zakat berjumlah 1.3 juta daripada Badan-badan Korporat untuk manafaat asnaf pelajar demi menjaga kebajikan mereka yang kurang berkemampuan bagi memastikan kelangsungan dan kecemerlangan pendidikan mereka.

 

Naib Canselor UMT, Profesor Dr. Mazlan Abd Ghaffar melahirkan rasa syukur dan berbesar hati serta merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada semua Badan Korporat yang terlibat dengan sumbangan ini.

 

“Alhamdulillah UMT menerima sumbangan zakat daripada 7 Badan Korporat yang terdiri daripada Lembaga Tabung Haji, Etiqa General Takaful Berhad, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Perumahan Kinrara Berhad, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad dan Affin Islamic Bank Berhad”.

 

“Selain itu, tambahan sumbangan sebanyak RM50,000 daripada Etiqa General Takaful Berhad untuk diagihkan khusus kepada pelajar UMT yang terjejas dengan bencana banjir. InsyaAllah sumbangan ini akan memanfaatkan pelajar UMT yang terdiri daripada asnaf zakat”. 

 

Sumbangan ini diserahkan oleh wakil-wakil badan korporat kepada Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi bagi pihak UMT sempena Program KPT Prihatin di Terengganu, Majlis Sanjung Budiman dan Perasmian Bangunan Institut Bioteknologi Marin yang berlangsung pada 28 Januari di UMT.

 

Sumbangan zakat yang diterima tersebut dianggarkan bakal memanfaatkan seramai 2279 orang pelajar asnaf di UMT.

 

Turut hadir dalam program ini adalah Dato’ Professor Dr. Husaini Omar Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Dr. Fadzli Adam, Menjalankan Fungsi Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin dan Agensi-agensi Kerajaan serta Badan-Badan Korporat dan Swasta.

 

Kunjungan Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad ke kampus UMT juga bagi meneruskan misi #KPTPrihatin serta Majlis Sanjungan Budiman dengan menyempurnakan bantuan banjir kepada masyarakat yang terlibat.

 

KPT Prihatin merupakan inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi dalam usaha membantu para pelajar yang kurang bernasib baik terutamanya di kalangan B40 dan juga mereka yang terjejas akibat musibah.

 

Melalui program ini, bantuan yang disalurkan oleh IPT bukan hanya memberi memanfaatkan para pelajar, malah ianya turut disalurkan kepada masyarakat umum sebagai tanggungjawab sosial kepada komuniti umum yang terjejas akibat musibah banjir di seluruh negara.

 

Bagi Inisistif KPT Prihatin pada kali ini, UMT dan UnisZa telah sama-sama berkerjasama dalam memperuntukkan sejumlah 1500 hamper dalam misi bantuan pasca banjir kepada mangsa yang terjejas di Negeri Terengganu.

 

Datuk Seri Dr. Noraini turut menyempurnakan perasmian bangunan baharu Institut Bioteknologi Marin (IMB) yang sebahagian besar bangunan ini merupakan makmal penyelidikan. Makmal ini telah siap dibina pada 8 November 2018 serta beroperasi pada awal 2021 secara berperingkat.

 

Sebanyak 11 buah makmal di dalamnya serta berfokus kepada bidang kajian bioteknologi. Dua makmal di sini merupakan di bawah projek penyelidikan kolaborasi antara UMT dan Ghent University, Belgium, iaitu Makmal Bioinformatik dan sebuah makmal lagi dengan Ocean University of China di bawah program Joint – Academic Centre Marine Studies.

 

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu

Emel: pro@umt.edu.my

Tel: 09-6684418/4261

Faks: 09-668 4390