UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Program komuniti pupuk mahasiswa berkualiti

Program komuniti pupuk mahasiswa berkualiti

Tuesday, 27/06/2023

Share This Article :

Universiti merupakan institusi penting yang bertanggungjawab dalam melahirkan graduan cemerlang dan seimbang dari aspek jasmani dan rohani.

Selaras dengan aspirasi kerajaan dengan menetapkan misi pendidikan “Melestarikan Sistem Pendidikan yang Berkualiti untuk Membangunkan Potensi Individu bagi Memenuhi Aspirasi Negara” melalui usaha membangunkan sistem pendidikan yang berkualiti dan bertaraf dunia bagi memperkembangkan potensi individu sepenuhnya dan memenuhi keperluan negara.

Pelbagai cabaran yang perlu ditempuhi dalam merencanakan strategi pendidikan bagi tujuan itu. Ia memerlukan sokongan dan dukungan oleh pelbagai peringkat daripada pemimpin sehingga penglibatan komuniti. Cabaran yang perlu dihadapi oleh negara pada ketika ini adalah untuk membangunkan masyarakat Malaysia yang berpengetahuan bagi menghadapi persaingan global dan perkembangan teknologi serta cakna terhadap alam sekitar.

Justeru itu, tuntutan terhadap membangunkan generasi yang berketerampilan dan cemerlang dalam pelbagai bidang serta berdaya saing perlu dilaksanakan dengan berkesan agar hasrat negara menjadi sebuah negara maju mengikut acuan sendiri dapat dicapai melalui penggemblengan masyarakat minda kelas pertama yang terhasil melalui pendidikan berkualiti.

Namun, sebagai sebuah universiti awam yang menitikberatkan aspek penjagaan alam sekitar, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sentiasa melaksanakan inisiatif sebagai platform pengukuhan dalam menghasilkan mahasiswa yang cemerlang dan dekat bersama-sama komuniti tanpa jurang.

“Pelajar perlu didedahkan dengan program-program berbentuk komuniti. Ia membina sahsiah pelajar selain memupuk sikap tanggungjawab terhadap masyarakat dan amalan itu akan dijadikan panduan selepas tamat pengajian kelak”. Kata Ketua Projek, Dr. Siti Aisyah Saat yang juga pensyarah di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial (FPEPS) UMT.

Program yang dikenali sebagai Program Kesedaran Alam sekitar Bersama Komuniti itu berjaya menarik minat 120 pelajar UMT yang juga bertindak sebagai sukarelawan bagi menggerakkan kempen kesedaran penjagaan alam sekitar komuniti Teluk Ketapang, Kuala Nerus.

Dr. Siti Aisyah menjelaskan bahawa sebagai pensyarah perlu berperanan dalam menggerakkan usaha meningkatkan keupayaan mahasiswa serta memupuk minda kelas pertama yang mempunyai “soft skill” dan ciri-ciri peribadi yang unggul agar mampu menghadapi cabaran masa hadapan.

“Kita mahukan pelajar-pelajar ini senang dihati masyarakat dan sentiasa menghargai siapa saja yang berada dalam komuniti. Disamping itu, pelajar ini juga sebagai ejen penyebaran kempen pemuliharaan alam sekitar agar masyarakat lebih peka terhadap kesan pengabaian tanggungjawab tersebut”.

Pelbagai aktiviti sampingan yang turut dijalankan sepanjang program tersebut seperti pengumpulan barangan kitar semula, pengumpulan barangan elektronik dan elektrik (e-waste), pengumpulan minyak masak terpakai, taklimat berkaitan isu alam sekitar dan lain-lain.

“Usaha untuk membentuk insan bukanlah mudah dan boleh berlaku sekelip mata. Ia adalah proses panjang yang perlu dibina secara bersama-sama. Generasi ini yang akan keluar ke pangkuan masyarakat dan seterusnya menyumbang kepada kemajuan negara malah menjadi tenaga kerja mahir yang berperanan kepada pembangunan negara”.  Katanya.

UMT yang ditubuhkan sebagai Pusat Perikanan pada 1979 telah melalui pelbagai peringkat evolusi berjaya menempa nama di pelbagai peringkat menerusi pencapaian akademik, penyelidikan dan inovasi serta pembangunan mahasiswa.

Antara pencapaian dan pengiktirafan yang telah diperolehi UMT iaitu penarafan oleh Times Higher Education (World University Rankings), Times Higher Education (Impact Rankings), Times Higher Education (World University Rankings by Subject), QS World University Rankings, QS University Rankings (Asia), UI GreenMetric, MyMoheS, Malaysia Research Assessment (MyRA) dan SETARA.

 

Dikeluarkan oleh :

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu