UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Universiti penyumbang pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat

Universiti penyumbang pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat

Monday, 10/10/2022

Share This Article :

Sesebuah negara berkembang maju seiring dengan ketinggian ilmu yang diaplikasi. Gedung ilmu yang dimiliki pula turut menjadi lambang penting sesebuah negara. Ilmu dan ketamadunan seakan selari dengan perubahan sesetengah masyarakat sejak ribuan tahun lamanya.

Jika dilihat negara maju, pemodenan negara turut disumbang oleh universiti. Peranan pusat pengumpulan ilmuan itu amat besar dalam menentukan halatuju negara, perkembangan ekonomi, penghasilan produk dan perubahan landskap budaya.

Dalam konteks Malaysia, negara hanya memiliki kurang daripada tiga buah universiti pada era sebelum merdeka. Namun, kini perkembangan pesat sektor Pendidikan tinggi telah berjaya menubuhkan lebih 20 buah universiti awam.

Badan pengurusan universiti perlu ‘kebal’ dari sebarang anasir yang mampu mengganggu-gugat keutuhan system universiti. Apa pun yang berlaku, kewujudan serta peranan universiti perlu bebas dan telus sebagai pusat ilmuan negara dan sumber utama dalam pembentukan tamadun serta pembangunan negara.

Setiap universiti memiliki bidang kepakaran yang berlainan berdasarkan sejarah penubuhan universiti tersebut. Kehebatan sesebuah universiti bergantung kepada tenaga pengajar, pensyarah dan profesornya. Antara bidang pengajian yang popular seperti perubatan, perundangan, kejuruteraan, seni bina dan lain-lain.

Kini masyarakat mulai sedar akan impak kewujudan universiti kepada komuniti setempat. Jika dilihat, setiap negeri mempunyai kampus tersendiri. Pelbagai kelebihan yang ditawarkan secara tidak langsung kepada masyarakat persekitaran kampus hasil dari kewujudan kampus tersebut. Permintaan dari aspek pemakanan, pakaian, penginapan, barangan asas, peralatan pengajaran dan pembelajaran terus mendapat permintaan. Tidak kurang juga peluang bagi menyediakan perkhidmatan rumah sewa atau bilik sewa, ia pasti menguntungkan!

Bagi universiti pula, selain menawarkan program pengajian, pengurusan perlu dinamik dalam membentuk pelajar seiring dengan peredaran masa. Era perkembangan media social kini menuntut organisasi yang melibatkan pelajar melakukan perubahan. Kaedah penyampaian, hebahan, pengajaran dan pembelajaran, pendekatan tidak lagi sama seperti ketika zaman tiada kemudahan internet dan media social.

Cabaran besar bagi ‘pengemudi’ sesebuah universiti untuk mengubah setiap minda warganya seiring dengan bakal pelajar yang mempunyai garis masa hidup yang berbeza, pemikiran berbeza, cara hidup yang berbeza. Jika tidak, ‘viral’ di media social!

Pelbagai inisiatif telah diperkenalkan oleh pengurusan universiti. Ia tidak lain hanyalah bertujuan untuk membentuk produk keluaran universiti   yang berdaya saing, mempunyai pakej lengkap, holistik, menjadi contoh serta mampu memimpin negara.

Malah, universiti kini bukan hanya focus terhadap perkembangan akademik pelajar, bahkan membimbing pelajar untuk menjadi ‘Job Creature’, bukan lagi ‘job seeker’.

Kadangkala turut kedengaran rungutan segelintir orang awam bahawa kewujudan kampus disesuatu Kawasan menjadi punca kenaikan hartanah. Adakah langsung tidak menyumbang kepada komuniti?

Skop universiti begitu luas. Jumlah pakar yang dimiliki dalam sesebuah kampus berpotensi disatukan untuk mencari formula terbaik dalam pembangunan sosioekonomi, peluang pekerjaan, aktiviti penjanaan, penghasilan produk dan lain-lain.

Sebagai contoh, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memperkenalkan pelbagai inisiatif dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi komuniti sekitar.

Program itu berupaya untuk meningkatkan taraf ekonomi golongan asnaf dan B40 melalui perusahaan sektor penternakan dan pertanian.

Antara program yang telah berjaya dilaksanakan seperti Program Keusahawanan Cendawan Tiram yang melibatkan 35 peserta dari Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin Darul Akhyar Terengganu.

Melalui siri bengkel pemindahan ilmu secara hands on, program itu mampu memberikan pengetahuan asas dan mengembangkan kemahiran asas berkaitan penanaman cendawan tiram serta menggalakkan penglibatan komuniti untuk menceburi bidang pertanian dan keusahawanan.

Secara tidak langsung ia memberi impak pulangan seterusnya menambahkan kemahiran bagi menjana pendapatan untuk kehidupan yang lebih baik.

Selain itu, UMT juga melancarkan inisiatif projek ternakan ikan keli melibatkan pemeliharaan ikan keli menggunakan tangki poli.

Projek kos rendah itu merupakan cetusan idea penyelidik Institut Akuakultur dan Tropika (AKUATROP) bagi mendedahkan ilmu dan pengetahuan asas dalam bidang penternakan ikan keli bermula dari peringkat anak benih sehingga kepada saiz pasaran dengan menggunakan bekas tangki air yang dikitar semula.

Bagi kelompok yang meminati bidang pertanian, penyelidik UMT turut memperkenalkan modul bimbingan bagi program tanaman cili berkelompok, tanaman melon manis Terengganu, tanaman berasaskan kaedah fertigasi serta kursus khas pembuatan baja organic. Projek ini merupakan serampang dua mata kerana selain digunakan untuk tanaman sendiri, ia juga boleh dipasarkan kepada pengusaha tanaman lain.

Negara juga memerlukan pakar rujuk dalam perancangan hala tuju negara. Penubuhan Higher Institution Centres of Excellence (HICoE) di universiti meliputi pelbagai kepakaran bagi menyalurkan dapatan kajian dalam merencanakan pembangunan negara serta mendepani krisis.

Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) UMT merupakan HICoE yang diiktiraf pada 2012. INOS dipilih sebagai Nod Ocean Biogeographic Information System (OBIS) yang berperanan sebagai pusat pengumpulan data oseanografi Malaysia. Kajian yang dijalankan INOS juga digunakan oleh syarikat ‘gergasi’ bidang minyak dan gas melalui projek kerjasama strategic.

Selain INOS, Institut Akuakultur Tropika (AKUATROP) juga mendapat pengiktirafan HICoE daripada pihak Kementerian Pengajian Tinggi. Antara focus yang dijalankan oleh AKUATROP ialah berkaitan Aquaculture Resource Sustainability, Aquaculture Breeding Technology, Aquaculture Green Technology dan Fish Health and Food Quality Assurance bagi menyokong Dasar Keselamatan Makanan Negara.

Sebagai sebuah universiti berfokus bidang marin, UMT turut berperanan dalam sektor perkapalan. Penubuhan Pusat Logistik dan Pengangkutan Maritim Malaysia (Maltrac) pula dapat melonjakkan lagi nama UMT dan kepakarannya dalam sektor maritim. Ia merupakan pusat penyelidikan dan sumber data dan merupakan hasil kerja sama strategik antara The Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT) dan UMT. Kewujudan pusat ini membantu menentukan penunjuk prestasi industri logistik, pengangkutan dan rantaian bekalan di Malaysia.

Justeru, para akademia, penyelidik, pemegangtaruh serta masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing dalam menghargai penubuhan universiti agar ‘kemanisannya’ dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat serta membantu pembangunan negara.

 

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu