UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT BANTU OKU PEKAK TEROKA BIDANG TANI SEJAJAR KEPERLUAN SEMASA WABAK PENDEMIK COVID-19

UMT BANTU OKU PEKAK TEROKA BIDANG TANI SEJAJAR KEPERLUAN SEMASA WABAK PENDEMIK COVID-19

Monday, 05/10/2020

Share This Article :

Orang Kurang Upaya (OKU) yang berdaftar di Jabatan Kebajikan Masyarakat pada 2017 adalah seramai 453,258 orang. Daripada jumlah tersebut, OKU kategori cacat pendengaran mencatatkan 7.6%. Ketika ini, jumlah pekerja cacat pendengaran yang berdaftar dalam organisasi kerajaan atau swasta amatlah rendah. Kebanyakan OKU di Malaysia telah mendapat pendidikan khas dan pendidikan vokasional dan mereka bersikap positif serta lebih fokus bekerja berbanding orang normal. Namun golongan ini masih belum dapat diterima sepenuhnya dalam pasaran kerja secara terbuka dan mereka sukar mendapat peluang pekerjaan. Namun, golongan ini tidak seharusnya diketepikan. Oleh itu, satu inisiatif telah diambil oleh 2 penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi membantu golongan ini dalam memajukan diri mereka. Ilmu dan teknologi dalam bidang pertanian adalah sangat luas dan mudah untuk diteroka serta diaplikasikan oleh golongan ini sebagai sumber pendapatan sampingan. Teknologi penanaman tanpa tanah iaitu sistem fertigasi didefinasikan sebagai kaedah penanaman tanpa menggunakan tanah sebagai media pengakaran dan menggunakan baja inorganik sebagai sumber baja yang dialirkan melalui air. Sebagai ganti tanah, sabut kelapa digunakan untuk memegang mineral nutrien yang dialirkan melalui pengairan. Antara contoh teknologi tanpa tanah selain fertigasi adalah hidroponik, aquaponik serta nutrient film technique (NFT). Teknologi fertigasi merupakan teknik penanaman yang telah terbukti memberi kesan yang baik pada tanaman sayuran dan buah-buahan. Fertigasi adalah gabungan dua perkataan Inggeris iaitu fertilizer dan irrigation. Dalam sistem ini, pembajaan dan pengairan dilakukan secara serentak. Sistem fertigasi juga ialah satu kaedah tanaman alternatif bagi mengelakkan penyakit bawaan tanah yang mengurangkan dan merosakkan hasil tanaman. Antara tanaman yang terbukti mampu mengeluarkan hasil yang lumayan adalah tanaman cili, tomato ceri tanah rendah, timun batang, melon manis Terengganu (MMT), rockmelon dan sebagainya.

Berikutan penggunaan teknik tanaman fertigasi yang memberi pulangan lumayan kepada pengusahanya, satu program pemindahan ilmu iaitu Silence Planters yang diketuai oleh Dr. Wan Zaliha Wan Sembok, pensyarah bidang pertanian di Fakulti Perikanan dan Sains Makanan, UMT diusahakan. Beliau bergabung kekuatan untuk memindahkan ilmu kepakaran bersama pakar serangga iaitu Prof. Madya Dr. Wahizatul Afzan Azmi yang bernaung di bawah Fakulti  Sains dan Sekitaran Marin dengan dibantu oleh dua pelajar peringkat sarjana iaitu Nor Afifah Abd. Rahman dan Mohammad Firdaus Mohammad Hatta. Inisiatif murni mereka ini bagi membantu  Persatuan Orang Pekak Terengganu (POPT) yang berpusat di Kuala Ibai, Batu Buruk telah berlangsung semenjak bulan Julai 2020. Dengan dana Asimilasi Pengetahuan dan Teknologi (KTAGS2020) sebanyak RM8000.00 yang diperolehi melalui proses pemilihan yang ketat daripada Pusat Pemindahan Ilmu dan Jaringan Industri, UMT ini mampu memberi impak positif kepada OKU Pekak. Selain itu, program ini amat bertepatan dalam membantu melestarikan sumber makanan di ketika wabak pendemik Covid-19 yang sedang melanda ini.

Program Silence Planters ini juga membuka laluan kepada 2 penyelidik UMT ini untuk berkongsi inovasi kreatif daripada penyelidikan mereka bagi meningkatkan hasil tanaman Melon Manis Terengganu (MMT) dan Tomato Ceri Tanah Rendah yang sedang diusahakan oleh POPT. Seramai 25 orang OKU Pekak diberi ilmu berkaitan sistem fertigasi, media tanaman baharu dan juga teknik pendebungaan oleh lebah kelulut. Selain itu, program ini juga berkerjasama rapat dengan industri bagi merangsang kebolehpasaran para graduan, memperbaiki struktur kurikulum berdasarkan keperluan industri dan juga merancakkan kajian penyelidikan serta membantu golongan OKU Pekak. Oleh itu, program Silence Planters ini mempunyai rakan industri yang berkaliber dalam bidang penternakan lebah kelulut iaitu Big Bee Honey Sdn Bhd. yang beroperasi di Jambu Bongkok, Marang. Pengarah urusannya, En. Nor Ehsan Abd. Rahman mempunyai 18 tahun pengalaman dalam bidang lebah dan lebah kelulut di Terengganu, mampu mencetus keinginan golongan OKU Pekak untuk menjadi usahawan yang berjaya kelak.

Media tanaman yang digunakan dalam sistem fertigasi adalah sabut kelapa yang telah diproses iaitu cocopeat. Namun disebabkan kos cocopeat yang semakin meningkat, Biochar atau arang hitam diperkenalkan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap media tanaman tersebut. Arang hitam adalah hasil akhir pembakaran secara tidak lengkap (tanpa oksigen atau oksigen pada kadar yang rendah) atau dikenali sebagai teknik pyrolisis telah mendapat sambutan yang menggalakkan sebagi bahan pembaik tanah. Arang hitam boleh dihasilkan melalui pembakaran sisa buangan pertanian seperti hampas tebu, tempurung kelapa, sekam padi dan hampas kelapa  serta sisa penternakan seperti tinja burung walit. Arang hitam ini juga dikombinasikan dengan mikrob berguna seperti mikoriza yang mana ianya mampu memegang air dan baja, mengurangkan kadar kehilangan air secara larutlesap serta meningkatkan kualiti tanah. Berdasarkan kejayaan kajian Dr. Wan Zaliha bersama pelajarnya, arang hitam yang digabungkan dengan baja semburan yang tinggi kandungan hormon seperti auksin, giberellin dan sitokinin serta mineral nutrien iaitu ekstrak rumpai laut mampu meningkatkan lagi hasil tanaman. Baja bio dan arang hitam ini bakal membuka lebih peluang pekerjaan kepada OKU Pekak untuk dijadikan sebagai bahan jualan pertanian yang sekaligus akan meningkat pendapatan sampingan mereka selain daripada hasil tuaian buah MMT dan tomato ceri tanah rendah. Bagi menghasilkan buah MMT yang berkualiti tinggi, lebah kelulut digunakan dalam proses pendebungaan, hasil inovasi kreatif Prof. Madya Dr. Wahizatul Afzan dan pelajarnya. Selain itu, penternakan lebah kelulut juga mampu meningkatkan pendapatan sampingan melalui jualan madu lebah kelulut.

Hasil buah yang banyak tanpa pengendalian lepastuai yang tepat tidak akan menjamin buah yang bermutu tinggi. Oleh itu, pengendalian hasil tuaian yang tepat akan mengurangkan kehilangan pasca tuai buah juga akan diajar kepada golongan OKU Pekak ini. Umum mengetahui bahawa, wabak pendemik Covid-19 telah menyebabkan pemasaran hasil tanaman sedikit terganggu disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac yang lalu, tetapi dengan adanya ilmu teknologi lepastuai yang tepat dan efektif, dapatlah hasil tuaian disimpan pada suhu yang bersesuaian. Ketepatan pemilihan suhu simpanan dan teknik pembungkusan akan   memanjangkan jangkahayat buah serta mempunyai kualiti dalaman dan luaran yang terbaik. Ini sekaligus mengurangkan kehilangan hasil tuaian tanaman yang tidak dapat dipasarkan yang selalunya akan berakhir ke tong sampah. Alternatifnya, teknologi lepastuai yang efektif mampu menjamin kelestarian sumber makanan negara terutama dimusim wabak pendemik ini.

Menurut presiden POPT, YM. Tg. Arman Haris Tg. Ismail, melalui jurubahasanya iaitu En. Mohamad Azfar Yamin Mohd Kamal, program pemindahan ilmu berkaitan bidang pertanian yang dianjurkan oleh UMT ini merupakan yang pertama di Malaysia bagi golongan OKU Pekak. Sebelum ini, tiada satu pun organisasi atau individu yang mahu membantu mereka meneroka bidang ini. Beliau amat berterima kasih kepada UMT kerana memilih mereka dan sekiranya program ini berjaya, ianya akan menjadi pendorong kepada golongan OKU Pekak di negeri lain untuk meneroka bidang pertanian ini. Beliau juga berhasrat untuk menambah bilangan polibeg yang sedia ada iaitu sebanyak 250 kepada 1000 polibeg tanaman MMT yang lengkap dengan rumah teduhan. Beliau juga dalam rangka usaha untuk memohon dana daripada Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu bagi membesarkan kawasan penanaman sedia ada. Tambah beliau lagi, buah MMT akan dituai pada pertengahan Oktober ini. Manakala, tomato ceri tanah rendah pula pada pertengahan bulan November nanti.

Secara holistic, program Silence Planters ini dilihat mampu menjadi titik tolak ke arah membangun sahsiah dan ekonomi golongan OKU Pekak dan juga membuka mata masyarakat luar bahawa mereka juga mampu bersaing dengan orang normal yang lain dalam bidang pertanian, khasnya.

 

Keterangan Lanjut Hubungi:

Nama: Dr Wan Zaliha Wan Sembok

Jawatan: Pensyarah Universiti

Fakulti Perikanan dan Sains Makanan

Emel: wzaliha@umt.edu.my

Tel: 09-6684981/019-9885218

 

 

Dikeluarkan oleh:

Pejabatt Komunikasi Korporat,

Universiti Malaysia Terengganu (UMT)