UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Transformasi pengurusan zakat lebih cekap, memudahkan penerima

Transformasi pengurusan zakat lebih cekap, memudahkan penerima

Wednesday, 17/02/2021

Share This Article :

Pandemik COVID-19 masih lagi menunjukkan peningkatan kes jangkitan dan pelbagai sektor diarahkan menghentikan operasi buat sementara waktu. Ramai yang kehilangan punca pendapatan disebabkan banyak organisasi perniagaan yang terpaksa gulung tikar kerana tidak mampu menampung kos operasi. Secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan kumpulan B40 atau miskin yang rata-rata mempunyai tanggungan.

 

Baru-baru ini juga tular beberapa klip video berkaitan kesusahan golongan mahasiswa yang tidak mempunyai kemudahan asas untuk menjalani kelas secara maya. Malah ada juga antara mereka yang tinggal di kawasan pinggir bandar dan pedalaman yang merumitkan untuk meneruskan pembelajaran.

 

Namun begitu, Pusat Islam Sultan Universiti (PISM), Universiti Malaysia Terengganu mengambil langkah proaktif membawa nilai islam mendekati golongan pelajar yang terkesan dengan pandemik menawarkan bantuan kewangan.

 

Timbalan Pengarah Ketua Pusat Islam Sultan Mahmud, Ustazah Faizah Ismail berkata pihaknya telah menyalurkan bantuan kepada kira-kira 4321 pelajar sepanjang tahun 2020.

 

“Pelbagai ujian yang dihadapi negara berikutan pandemik COVID-19 dan kesannya juga dirasai oleh mahasiswa. Alhamdulillah, PISM telah membuat transformasi pengurusan sistem permohonan bantuan kewangan pelajar. Penyaluran Bantuan Kebajikan Prihatin Siswa pada tahun 2020 kepada 4321 orang pelajar telah menunjukkan peningkatan lebih 150% berbanding tahun 2019 melibatkan dana berjumlah RM805,250.00.00.

 

Katanya jumlah itu merupakan hasil sumbangan zakat dan Tabung Pembangunan & Kebajikan Pelajar (TPKP) masing-masing 75% dan 25%.

 

“Kita menggunakan platform My Ihsan bagi memudahkan pelajar membuat permohonan dan juga mengadakan temuduga melalui atas talian dan transformasi ini terbukti mempercepatkan lagi proses permohonan.

 

Selain mengadakan perbincangan dengan badan-badan korporat berkaitan sumbangan zakat syarikat, PISM UMT juga mempelbagaikan bentuk penyaluran sumbangan zakat.

 

PISM UMT juga rancak mempromosikan program yang dinamakan Wakaf Ilmu bagi meluaskan lagi kaedah sumbangan dan memudahkan orang ramai untuk menyalurkan bantuan dalam pelbagai bentuk.

 

“Inisiatif baharu membantu pelajar dengan melihat kepada sumber Wakaf Ilmu UMT. Pada tahun ini, PISM akan melancarkan Tahun Semarak Wakaf Ilmu UMT. Dengan tema “Wakaf: Jalan Menuju Ke Syurga Allah”, PISM akan menggerakkan usaha-usaha bagi mengalakkan warga UMT dan masyarakat setempat untuk menyumbang ke Tabung Wakaf Ilmu UMT.  Fokus utama kepada warga UMT adalah untuk membuat potongan gaji serendah RM1 sebulan. 

“PISM sentiasa komited dalam menggerakkan usaha-usaha membantu pelajar asnaf UMT melalui sumbangan zakat. Zakat pendapatan adalah sebuah tuntutan kepada semua yang bekerja yang telah cukup syarat-syarat untuk mengeluarkan zakat. Justeru, kempen C to Z (cukai kepada zakat) akan diperkasakan untuk menggalakkan staf UMT berzakat melalui Potongan Zakat Berjadual(PZB) dan seterusnya  mengembalikan 2/8 bahagian kepada pihak UMT untuk disalurkan kepada pelajar.

 

Setakat ini, PISM UMT telah berjaya menyediakan pelbagai kemudahan untuk kegunaan mahasiswa dan orang ramai melalui inisiatif wakaf ilmu.

 

“Hasil sumbangan wakaf warga UMT dan masyarakat setempat yang budiman telah berjaya membiayai 80% dari keseluruhan kos pembelian 13 unit penapis air. Tujuh unit pertama telah ditempatkan di tujuh (7) lokasi strategik yang menjadi tumpuan warga UMT, iaitu  Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah,  Kompleks Siswa,  Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan (PPPL), Kompleks Kuliah Pusat,   Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS),  Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan dan Informatik (FTKKI) dan Fakutli Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial (FPEPS).  Manakala baki enam unit lagi akan ditempatkan di Fakulti Sains dan Sekitaran Marin (FSSM), Fakulti Perikanan dan Sains Makanan (FPSM), Pusat Pengurusan Akademik dan Kualiti (PPAK), Kolej Kediaman Pelajar, Kompleks Kuliah Lama dan Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail.

 

Tambah beliau, PISM UMT juga berjaya menyediakan dua buah van bagi kegunaan program-program kebajikan dan bantuan.

“Dua buah Van Wakaf Ilmu UMT berjenama Cam Kingo 3.0L berkapasiti 15 penumpang, telah dibeli untuk kegunaan warga UMT dan masyarakat setempat.  Daripada keseluruhan kos pembelian van ini, 45% daripadanya adalah hasil sumbangan 40 orang staf UMT dermawan yang telah membuat potongan gaji ke Tabung Wakaf Ilmu UMT sejak lima tahun yang lalu.    Dengan adanya van Wakaf Ilmu UMT pelbagai guna ini, dijangka dapat memberi manfaat besar kepada kebajikan pelajar UMT khususnya dan keseluruhan warga UMT umumnya.  Bagi meningkatkan citra UMT, nombor pendaftaran UMT2015 dan UMT 2017 dipilih sebagai simbolik kepada tahun penubuhan Masjid UMT dan Tahun Penubuhan Tabung Wakaf Ilmu UMT. Katanya.

 

 

Untuk keterangan lanjut :

 

Ustazah Faizah Ismail

Timbalan Ketua Pusat Islam

Universiti Malaysia Terengganu

Tel : 019-9389629

 

 

Dikeluarkan oleh:

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu