UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Program pemindahan ilmu UMT bantu tingkat kehidupan komuniti

Program pemindahan ilmu UMT bantu tingkat kehidupan komuniti

Wednesday, 08/11/2023

Share This Article :

Ketidaktentuan ekonomi kebelakangan ini memaksa masyarakat berusaha lebih gigih dalam menempuh cabaran bagi menampung perbelanjaan keperulan harian.

Perdana Menteri turut memberi bayangan bahawa ekonomi dunia mansang tidak menentu dan mencabar.

Ditambah konflik geopolitik yang berlaku di beberapa negara turut menyumbang inflasi global dan melemahkan pertumbuhan ekonomi.

Akibatnya, kenaikan harga komoditi dan bahan makanan turut memberi dampak kepada kos sara hidup rakyat Malaysia.

Situasi lebih buruk apabila dunia ketika ini membincangkan isu krisis makanan yang kian dirasai ketika ini.

World Food Programme (WFP) dan FAO menganggarkan impak daripada situasi semasa menyebabkan ketidakselamatan makanan meningkat daripada 100 juta orang tahun 2021 kepada 161 juta.

Gabungan beberapa faktor penyumbang krisis ini memaksa peningkatan harga barang makanan mentah dan telah menjejaskan bekalan makanan dan mengecilkan kuasa membeli rakyat Malaysia.

Sebagai alternatif, semua pihak perlu gembleng tenaga dan usaha bagi mengekang situasi yang melanda daripada terus menjadi barah di masa depan.


Antara inisiatif yang berpotensi diketengahkan serta mempunyai impak yang ketara adalah program pemindahan ilmu dan kepakaran.

Bersesuaian dengan bidang kepakaran serta nic yang dimiliki, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi, Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP) telah melaksanakan beberapa siri program berbentuk pemindahan ilmu kepada komuniti membabitlkan penyelidik bagi meningkatkan taraf ekonomi penduduk khususnya berkaitan bidang perikanan dan akuakultur.

Pengarah AKUATROP UMT, Prof. Dr. Mhd Ikhwanuddin Abdullah berkata usaha itu meruapak projek yang telah dirangka khas untuk membantu golongan sasar serta sebagai medium penyebaran ilmu berkaitan pemuliharaan sumber perikanan.

“Untuk kali ini, program pemindahan ilmu dan tanggungjawab sosial universiti (USR) berkaitan Pemuliharaan Sumber Ketam Bakau adalah satu usaha Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan UMT bagi merancakkan usaha pemindahan ilmu kepada masyarakat dan industri.

“Program Pemindahan ilmu kepada masyarakat berkaitan kaedah penternakan ketam bakau dan usaha pemuliharaan sumber ketam bakau di Malaysia. Penganjuran ini juga untuk memberi kesedaran terhadap masyarakat tentang usaha dan aktiviti yang perlu dilakukan bagi memastikan kelestarian spesis ketam bakau serta sumber perikanan yang lain”. Katanya sempena Program Pemindahan Ilmu : Pemuliharaan Sumber Ketam bersama-sama komuniti di Tanjung Sepat, Sepang baru-baru ini.

Menurutnya, penganjuran itu diharapkan dapat mengubah perspektif komuniti setempat dalam usaha menerapkan amalan pengurusan sumber perikanan lestari khususnya berkaitan ketam bakau di kalangan nelayan dan komuniti pesisir pantai di kawasan Tanjung Sepat, Kuala Langat.

Terdahulu, Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd. Ghaffar menyatakan beberapa inisiatif yang bersifat mesra komuniti akan dilaksanakan dalam usaha menaiktaraf hidup golongan sasar.

“UMT juga akan mengintegrasikan penternakan udang galah, ikan serta sayuran bagi membantu komuniti bagi meningkatkan taraf hidup melalui hasil sistem penternakan yang mampan, mesra pengguna, jangka hayat yang panjang serta kos rendah”.

Katanya, projek yang dirancang itu bakal memberi impak besar serta menjana pulangan yang lebih baik seterusnya mengubah ekonomi masyarakat setempat.


UMT yang ditubuhkan sebagai Pusat Perikanan pada 1979 telah melalui pelbagai peringkat evolusi berjaya menempa nama di pelbagai peringkat menerusi pencapaian akademik, penyelidikan dan inovasi serta pembangunan mahasiswa.

Antara pencapaian dan pengiktirafan yang telah diperolehi UMT iaitu penarafan oleh Times Higher Education (World University Rankings), Times Higher Education (Impact Rankings), Times Higher Education (World University Rankings by Subject), QS World University Rankings, QS University Rankings (Asia), UI GreenMetric, MyMoheS, Malaysia Research Assessment (MyRA) dan SETARA.

 

Dikeluarkan oleh :

Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu